RAMAI yang sering bertanya,"apa yang seronoknya mendaki bukit dan gunung?"
Selain melelahkan, terpaksa pula berjalan jauh di tambah dengan berat beban yang harus di pikul semata-mata untuk menaiki puncak yang tidak pernah menjanjikan apa-apa.
Namun pada mereka yang sudah jatuh cinta dengan aktiviti ini, mendaki bukit dan gunung sememangnya mempunyai seni yang tersendiri.
Hanya mereka bergelar pendaki sahaja yang tahu nikmat di sebalik semua jerih payah itu.
Ada kalanya laluan yang di lalui penuh semak dan berduri, kalau cuaca tidak mengizinkan terpaksa pula memanjat laluan licin dan berselut.
Malah sekiranya tidak berhati-hati bahaya sedia menanti hingga boleh membawa kepada kemalangan dan kematian.
Anehnya, istilah serik dan putus asa seolah tidak wujud dalam kamus seorang pendaki.
Saat tiba di puncak penat dan kepayahan yang di lalui sebelumnya seolah hilang entah ke mana.
Itulah antara cebisan perasaan para pendaki Team Busut. Tiap kali apabila cuti hujung minggu hampir tiba, perasaan tidak keruan mula melanda.
Masing-masing akan sibuk merancang semata-mata untuk dapat menghirup udara hutan yang sangat menyegarkan.
Atas sebab itu juga, dua bukit di daerah Bera, Pahang menjadi pilihan kami dalam misi menjejak ‘ketupat besi’ (struktur binaan besi yang dikenali sebagai stesen trigonometri) pada hujung minggu yang lalu.
Paling menarik, misi kami pada kali ini turut disertai Mohd Faizal Samat dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).
Salam kepada yang telah pergi
Dengan kekuatan seramai 9 orang ahli, kami memulakan perjalanan seawal jam 10 malam, menuju ke Bukit Senorang yang terletak di Kampung Dato Seri Hamzah, Kemayan Pahang.
Sekitar jam 3 pagi, kami tiba di Kg. Datuk Seri Hamzah. Hati mula berdegup kencang dan mulut seakan terkunci saat terpandang kawasan perkuburan Islam yang terletak di hadapan kami.
Setelah memberikan salam dan membacakan surah al-Fatihah kami segera menyiapkan diri untuk memulakan pendakian pada dinihari.
Dengan lafaz Bismillah dan bacaan doa ringkas, kami memulakan misi pendakian Bukit Senorang.
Sebaik sahaja melepasi laluan kebun, kami tiba di pintu rimba. Memandangkan laluan trek dipenuhi semak, parang segera dihunus bagi membersihkan laluan.
Namun perjalanan yang ditemani jutaan bintang dilangit ketika itu tidak dapat memberi ketenteraman kepada Muhamad Safuan Rusdan apabila perutnya tidak memberikan kerjasama.
Isyarat segera diberikan agar semua berhenti rehat, bagi membolehkan Muhamad Safuan menyelesaikan ‘hajatnya’.
Sekitar jam 5.15 pagi, Bukit Senorang yang mempunyai ketinggian sekitar 362m berjaya kami tawan.
Masing-masing mengunakan kesempatan tersebut untuk melelapkan mata seketika, bagi menghilangkan lelah.
Laungan azan Subuh yang memecah hening pagi sayup kedengaran tidak lama selepas itu. Itu menandakan kami perlu segera bangun dan bersiap untuk misi seterusnya.
Kepenatan mendaki seakan hilang tatkala melihat keindahan panorama di puncak bukit saat matahari memunculkan diri.
Kami cuba menjejak ‘ketupat besi’ namun hampa. Menurut Faizal kemungkinan ia telah dimusnahkan ketika aktiviti pembalakan suatu ketika dahulu.
Namun kehadiran pokok di mana batangnya seakan-akan disimbah cat merah (red forest) melengkapkan misi kami pada hari itu. Keunikannya begitu mempersonakan.
Radhiah Mohd Rasid segera menjerang air kopi bagi melawan cuaca sejuk pada pagi itu.
Selepas bersarapan secara ala kadar, kami segera turun bagi meneruskan misi ke Bukit Bertangga.
Melompat lebih tinggi
Sebaik tiba di parkir kereta kami berehat seketika bagi membersihkan badan. Saat itu aku terpandang kehadiran seekor ular lidi menuju ke arah Azidah Aziz yang sedang duduk di bawah pondok yang berhampiran.
Aku segera menjerit sebagai tanda amaran dan menyebabkan Azidah terperanjat dan segera melompat ke atas pondok tersebut.
Walaupun di kategorikan sebagai ular yang tidak berbisa, namun perasaan takut dan geli terhadap haiwan menjalar itu tetap menyelubungi kami.
Dada berdegup kencang, saat melihat kehadiran ular tersebut menyebabkan kami segera beredar meninggalkan kawasan itu.
Warung tepi jalan menjadi persinggahan kami bagi mengisi perut sebelum menuju ke Bukit Bertangga di Felda Kumai.
Misteri Bukit Bertangga
Bukit Bertangga menjadi pilihan kerana, selain mempunyai struktur ‘ketupat besi’ di sini juga terdapat kawasan air terjun yang pernah menjadi tarikan suatu ketika dahulu.
Nama air terjun Bertangga ini di ambil sempena nama bukitnya seperti yang tercatat dalam peta topo yang dikeluarkan oleh Jabatan Pemetaan dan Ukur Negeri Pahang.
Malah sekiranya diperhatikan lanskap air terjunnya juga sangat unik kerana menyerupai tangga batu.
Namun disebabkan kawasan Hutan Simpan ini melebar luas hingga ke Daerah Rompin, kehadiran binatang buas dikatakan sering kelihatan berkeliaran.
Disebabkan itu di awal pembukaannya sehingga tahun 1990an, terdapat pagar-pagar elektrik yang di bina bagi menghalang kemasukan binatang liar seperti gajah, beruang, harimau dan babi hutan.
Malah Jabatan Mergastua (kini Perhilitan) pernah dilaporkan menangkap beruang liar di kawasan hutan simpanan itu yang dianggarkan seluas 61,973 kaki persegi.
Paling menarik, kawasan itu turut di katakan menyimpan seribu kisah mistik lagi misteri yang menarik untuk dikongsikan.
Menurut penduduk tempatan, mereka yang ‘bertuah’ akan berjumpa dengan tujuh laluan bertangga hingga ke puncak.
Selain itu di atas air terjun itu juga dikatakan terdapat beberapa buah kolam milik ‘penunggu’ bukit tersebut.
Tidak cukup dengan itu ada mitos yang mengatakan terdapat kepala keretapi di dalam hutan tersebut.
Sama ada betul atau tidak, hanya mereka yang pernah berjumpa sahaja boleh mengesahkannya.
Menuju ke puncak Bertangga
Muhammad Safuan Rusdan dan Noor Ashikin Mohamed Amin yang pada awalnya ingin segera pulang, akhirnya turut terjebak dengan ‘pujuk rayu’ kami untuk menawan puncak Bertangga.
Sejurus tiba di kawasan parkir kami segera memulakan pendakian sekitar jam 11 pagi.
Seperti kelazimannya Muhamad Ridwannullah Ad Rahman bertindak sebagai pembuka jalan atau dalam bahasa mudah tukang tebas.
Manakala Zulkifli Mat Rawi dan Faizal sebagai pembaca peta topo, dan Azidah di beri tugas sebagai penanda jalan.
Penulis dan Norsafarina Muhamad Nasir pula bertindak sebagai pembantu kecemasan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Radhiah dan Noor Ashikin bertanggungjawab sebagai ‘makcik kantin’ yang bertanggungjawab untuk menyediakan juadah makan tengah hari kami.
Juhaini Abdul Rahman dan Safuan pula ditugaskan sebagai 'sweeper' bagi memastikan tiada di kalangan kami yang terpisah dari kumpulan.
Trek pendakian agak meletihkan kerana sebaik tiba di pintu rimba, kami telah disajikan dengan laluan yang memacak.
Malah di sebahagian tempat, kami terpaksa berpaut di akar-akar kayu untuk menarik badan ke atas.
Namun saat melihat limpahan air terjun yang menderu laju, seakan mengubat lelah yang melanda kami.
Serangan hendap
Kira-kira sejam pendakian diteruskan, tiba-tiba kami dikejutkan dengan jeritan Radhiah yang memecah kesunyian hutan di susuli dengan laungan Faizal.
Mereka kemudiannya kelihatan berlari menuju ke laluan balak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian. Setelah ditanya rupanya mereka berdua disengat serangga penyegat.
Tanpa di duga, bibir Faizal yang di sengat mengalami bengkak yang agak besar.
Namun kejadian itu langsung tidak mematahkan semangat kami untuk menawan Bukit Bertangga.
Kami memilih untuk berehat seketika di kawasan permatang, sambil menunggu ketibaan rakan-rakan yang lain.
Aktiviti merentas hutan di teruskan tidak lama selepas itu dengan melalui kawasan permatang yang agak jauh.
Petanda abang besar
Laluan yang landai sedikit melegakan kami semua. Namun di pertengahan perjalanan kami di kejutkan dengan sisa najis ‘abang besar’ (panggilan manja untuk gajah liar).
Paling menakutkan kami turut melihat beberapa kesan tapak kaki ‘pak belang’.
Wajah Noor Ashikin tiba-tiba bertukar pucat, dia kemudiannya meminta kebenaran untuk baring seketika atas alasan menghilangkan penat.
Terserempak dengan tinggalan haiwan-haiwan liar ini membuatkan kami lebih berhati-hati dalam setiap langkah yang di atur.
Setelah hampir empat jam mendaki laluan menuju ke puncak seakan tertutup dengan runtuhan buluh dan pokok berduri.
Makin di cantas namun kelihatan tidak berkurangan, masa dan tenaga banyak di habiskan untuk membuka jalan.
Di sebabkan kekangan masa dan keadaan cuaca yang mulai hujan kami akhirnya mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Jelas terpampang rasa kecewa pada raut wajah rakan-rakan yang lain, namun atas faktor keselamatan keputusan tersebut dirasakan amat tepat. Bak kata pepatah ‘tak lari gunung di kejar’.
Sekitar jam 5.30 petang, kami semua berjaya tiba di kaki Bukit Bertangga dengan selamat.
Kehadiran ‘nenek tua’
Sebaik tiba di Kuala Lumpur, kami dikejutkan dengan cerita Noor Ashikin yang mengalami demam yang teruk.
Apabila di tanya, dia menjelaskan melihat kelibat ‘nenek tua’ sepanjang perjalanan menuju ke puncak Bertangga.
Kerana takut yang teramat sangat, ketika melihat kelibat tersebut dia hanya mampu berzikir dan berdoa di dalam hati agar perjalanan kami di permudahkan.
Menurutnya lagi, nenek tua yang berusia 400,000 tahun itu marah dengan kehadiran kami yang dikatakan menganggu laluannya.
Saat mendengar cerita tersebut, kami agak terkejut, masing-masing mula mengimbau kembali kejadian petang itu.
Mungkin ada di kalangan kami yang telah melanggar pantang larang ketika mendaki.
Walaupun ada sedikit ketakutan, namun cerita Noor Ashikin itu akan menjadikan kami lebih berhati-hati untuk menjaga adab dan sopan ketika berada di dalam hutan.
Penulis tidak berniat untuk melemahkan semangat mereka yang berminat dengan aktiviti mendaki.
Kisah ini hanya bertujuan untuk dijadikan panduan agar kita lebih berhati-hati ketika masuk ke tempat orang.
Apa yang pasti, Team Busut akan kembali semula ke Bukit Bertangga untuk melangsaikan misi yang tertangguh ini.