KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada meminta untuk melihat penyata kad kredit miliknya daripada bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.
"Ada, kadang-kadang," jawab Mazlina, 42, ketika ditanya peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, adakah Pengerusi UMNO itu ada memintanya untuk melihat penyata kad kreditnya.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas Ahmad Zaidi, pada perbicaraan hari ke-40 Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.
Bagaimanapun, Mazlina tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa beliau langsung tidak menunjukkan penyata kad kredit yang diminta itu kepada Ahmad Zahid.
Pegawai tentera itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa tindakannya yang tidak menunjukkan penyata kad kredit adalah kerana takut Ahmad Zahid dapat mengesan kesilapannya.
Pada Selasa lalu, Mazlina dalam penyataan saksinya memberitahu mahkamah bahawa setiap kali ingin mendapatkan tanda tangan Ahmad Zahid, saksi itu akan membawa penyata kad kredit untuk rujukan bekas majikannya itu.
Terdahulu, Mazlina berkata, beliau dilantik menjadi setiausaha eksekutif kepada Ahmad Zahid pada November 2011 semasa berkhidmat di Kementerian Pertahanan dan beliau juga bertugas sebagai pegawai pengiring isteri tertuduh, Datin Seri Hamidah Khamis.
Saksi itu juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa beliau hanya akan bersama Hamidah jika diperlukan, sama ada dalam waktu bekerja atau di luar waktu bekerja.
Ahmad Zaidi: Saya katakan Puan Mazlina rapat dengan Datin Seri Hamidah.
Mazlina: Tak rapat.
Disoal Ahmad Zaidi, sebagai pegawai pengiring dan setiausaha eksekutif, saksi itu tidak sepatutnya mengikut Hamidah ke luar negara untuk urusan tidak rasmi, Mazlina menjawab"tidak setuju, sebab saya mengikut arahan Datin Seri (Hamidah)".
Beliau juga tidak bersetuju dengan peguam bahawa Hamidah menganggapnya sebahagian daripada ahli keluarga.
Ditanya lagi Ahmad Zaidi, adakah saksi itu merayu untuk mengikut Ahmad Zahid bertukar ke Kementerian Dalam Negeri pada 2013, Mazlina menjawab tidak setuju kerana Datuk Seri (Ahmad Zahid) dan Datin Seri (Hamidah) yang membawanya ke kementerian itu sebagai setiausaha eksekutif.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 21 September depan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Zahid bayar tunai lebih RM1.4 juta ubah suai banglo: Saksi