KUALA LUMPUR - Polis menahan lebih 100 individu setiap bulan atas kesalahan memandu secara mabuk di ibu negara bermula Januari sehingga Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, sepanjang tempoh itu seramai 741 individu ditahan dalam Op Mabuk.
"Berdasarkan jumlah tangkapan itu, kita menganggarkan lebih 100 individu ditahan setiap bulan secara purata kerana melakukan kesalahan itu.
"Operasi ini akan diteruskan dengan kerjasama Ketua Polis Daerah di Kuala Lumpur serta agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lokasi tumpuan iaitu di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Bulan Kemerdekaan di Plaza Tol Jalan Duta menghala selatan hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, polis turut memberi perhatian kepada kesalahan menggunakan telefon bimbit.
"Penggunaan telefon bimbit adalah kesalahan yang diklasifikasikan sebagai kes tanpa kompaun yang akan dibicarakan terus di mahkamah kerana ia dikenal pasti sebagai antara punca menyumbang kepada kemalangan," katanya.
Sementara itu, Zulkefly berkata, dianggarkan 1.5 juta kenderaan akan keluar dan masuk ke pusat bandar termasuk pulang ke kampung bagi tempoh empat hari cuti sempena Hari Kemerdekaan hujung minggu ini.
"Berdasarkan rekod, sebanyak 356,176 kemalangan dilaporkan dengan 214 kes membabitkan kematian sepanjang tahun lalu berbanding 203,443 kemalangan dengan 94 kes kematian bagi tempoh Januari hingga Julai lalu di Kuala Lumpur," katanya.