KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) memberi isyarat konsep pembelian tanah Kampong Bharu yang diuar-uarkan sebelum ini dengan pembelian RM1,000 bagi satu kaki persegi tidak dapat dilaksanakan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia berdasarkan hanya 61 peratus pemilik bersetuju dengan proses jual beli itu selain tiada sumber mampu membiayai kos pembelian tanah dianggarkan RM7 bilion.
"Jika kita nak beli dengan konsep itu kita kena ada 'willing buyer' dan 'willing seller' tetapi yang kita ada sekarang hanya 61 peratus dan tak sepenuhnya setuju. Jadi kaedah itu tidak dapat dilaksanakan.
"Oleh kerana PKB membuat penemuan sedemikian maka arahan saya kepada mereka untuk buat keputusan. Orang Kampong Bharu perlu diberitahu kerana ada antara mereka yang menanti untuk mendapatkan RM1,000 bagi satu kaki persegi," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung perkembangan konsep Pelan Pembangunan Kampong Bharu yang dibawa di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Laluan Baharu Bas GoKL di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Annuar berkata, satu kaedah baharu dirangka bagi membolehkan perancangan pembangunan Kampong Bharu dapat direalisasikan.
Menurutnya, pendekatan baharu itu akan menggunakan konsep bersifat organik yang tidak melibatkan pembelian tanah dari orang luar dan dijangka akan dibentangkan kepada pemilik tanah dalam sedikit masa lagi.
"Tanah di Kampong Bharu akan dipecahkan kepada beberapa parcel dan setiap perancangan akan dibuat mengikut plot tertentu.
"Plot yang boleh dibangunkan akan dibangunkan terlebih dahulu. Kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan antaranya Sungai Baru, berdekatan Jalan Syed Mahadi, di sebelah Masjid Kampong Bharu yang pembangunannya boleh diteruskan dan tak perlu ditunggu-tunggu," katanya.
Menurutnya, setiap perancangan akan melibatkan penyertaan pemilik tanah selain mengajak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemerbadanan (badan-badan amanah) serta berkaitan untuk terlibat sama dalam pembangunan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya sudah membuat permohonan kepada agensi berkaitan untuk menaik taraf infrastruktur yang terdapat di Kampong Bharu sementara projek pembangunan di kawasan itu dilaksanakan.
Jun lalu, Annuar mengarahkan PKB menyediakan laporan perakuan perancangan Pembangunan Kampong Bharu sama ada mampu diteruskan atau sebaliknya.
Laporan penilaian itu juga merangkumi konsep perancangan, persetujuan pembelian dan kemampuan sumber dana sebelum status pembangunan Kampong Bharu itu diputuskan.