KOTA BHARU - Seramai 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Kelantan Bikers menjelajah seluruh negara sejauh 1,603 kilometer melalui misi Ride Merdeka Kelantan 2020 yang bermula hari ini.
Program Jejak Persejarahan Kemerdekaan anjuran bersama Kelantan Bikers dan Tourism Malaysia Wilayah Timur itu bermula dari Dataran Masjid Muhammadi Kota Bharu dan berakhir pada 31 Ogos ini di Kemubu di sini.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, program tersebut adalah untuk membakar semangat kemerdekaan dengan menjejaki beberapa lokasi-lokasi tinggalan sejarah yang membawa kemerdekaan kepada negara sebelum ini.
"Ini merupakan salah satu inisiatif yang kita ambil untuk mendidik masyarakat dalam pelbagai skop. Konvoi kita akan singgah di tempat-tempat bersejarah yang mengimbau kembali kenangan pada zaman sebelum kemerdekaan dan selepas kemerdekaan.
"Kita tidak mahu tempat-tempat tinggalan sejarah ini ditelan zaman dan inilah salah satu caranya supaya kita dapat membuka kembali mata masyarakat supaya terus ingat dan kenang pengorbanan mereka yang berjuang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Pelepasan Konvoi Ride Merdeka Kelantan 2020 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah; ADUN Bunut Payung, Dr Ramli Mamat dan Presiden Kelab Kelantan Bikers, Diami Yusoff.
Mengulas lanjut, katanya, memandangkan kini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), misi kembara kali ini juga untuk memberi pendedahan kepada masyarakat untuk berjuang menentang koronavirus (Covid-19).
Katanya, walaupun kita tidak dapat menyambut kemerdekaan sebagaimana biasa disebabkan pandemik tersebut, namun ia tetap perlu diraikan dengan cara baru.
Sementara itu, Diami berkata, pihaknya berharap misi kali ini akan mencapai matlamat utama iaitu untuk mengangkat perjuangan mereka yang memerdekakan negara secara singgah di beberapa lokasi yang ditetapkan.
Konvoi tersebut akan melalui beberapa negeri utama iaitu Perak, Penang, Kuala Lumpur, Johor, Terengganu sebelum kembali semula ke Kelantan.