KUANTAN - Kehidupan mewah ditunjukkan seorang wanita yang juga jiran sekampungnya mendorong seorang lelaki menyertai pelaburan hartanah yang ditawarkan wanita itu hampir lima tahun lalu.
Malangnya, mangsa berusia 38 tahun itu bukan sahaja gagal menikmati keuntungan lumayan seperti yang dijanjikan malah terpaksa menanggung kerugian RM226,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa melabur RM255,000 melalui tiga fasa pelaburan sejak 2015.
Menurutnya, mangsa dijanjikan peluang keuntungan tiga hingga lima peratus dalam tempoh setahun selain peluang untuk mendapatkan semula modal pelaburannya itu.
"Sepanjang menyertai pelaburan itu, mangsa mendakwa hanya menerima keuntungan RM29,000 sahaja tidak seperti mana yang dijanjikan.
"Mangsa pernah membuat tuntutan sivil di mahkamah terhadap wanita itu untuk mendapatkan wangnya semula dan dia menang dalam tuntutan itu," katanya.
Mohd Wazir berkata, wanita itu bagaimanapun gagal membuat bayaran seperti yang diarahkan dan mangsa masih belum mendapatkan semula wang pelaburannya itu.
"Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan semalam agar tindakan diambil terhadap wanita tersebut.
"Kita percaya suspek memperdayakan mangsa dengan peluang pelaburan tidak wujud hingga menyebabkan lelaki itu mengalami kerugian," katanya.
Katanya, kes itu dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.