SHAH ALAM - Polis menyerbu lokasi sindiket pelacuran yang menawarkan khidmat seks menggunakan WeChat di sebuah kondominium di sini, malam tadi.
Pegawai Turus Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, operasi di lapan unit kondominium itu berjaya menahan 11 wanita warga asing disyaki pekerja seks serta dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga.
"Pemeriksaan mendapati 10 wanita terbabit adalah warga Indonesia, manakala seorang lagi adalah warga China. Polis percaya kondominium ini disewa dan menjadi tempat kegiatan haram itu beroperasi sejak sebulan lalu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Serbuan kira-kira jam 11.45 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota D7 hasil maklumat dan risikan.
Tambahnya, serbuan turut merampas kondom, pelincir dan beberapa peralatan untuk tujuan khidmat seks.
Beliau berkata, selain itu, siasatan mendapati, wanita terbabit mengenakan bayaran RM180 sehingga RM200 untuk setiap langganan.
Katanya, kesemua tangkapan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan.