BEIJING - Rakaman video mengenai seorang wanita sedang menyelamatkan warga emas pengsan di dalam lif menarik perhatian netizen di laman sosial Weibo hari ini.
Video berkenaan memaparkan, Sun Tian yang sedang mengendong bayinya terkejut melihat warga emas itu sudah terbaring di lantai lif di tingkat rumahnya, lapor People's Daily China.
Panik dengan situasi itu, dia terpaksa meletakkan bayinya di atas lantai sebelum melakukan bantuan kecemasan pemulihan pernafasan (CPR) terhadap warga emas itu yang dipercayai mengalami serangan jantung.
Bagaimanapun tindakan Sun Tian meletakkan bayi atas lantai menerima kritikan dari netizen.
Dia hanya berkata,"Saya tak peduli apa pun, saya hanya ingin menolongnya."
Sebelum Sun Tian menolong warga emas itu, dia sempat menghubungi talian kecemasan namun tiada respons.
Terdahulu, insiden mencemaskan itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Rata-rata netizen berharap warga emas itu selamat dan mengucapkan terima kasih kepada Sun Tian kerana bertindak pantas membantu.