TANJUNG MALIM - Seorang pengantin perempuan sempat membuang undi terlebih dahulu di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Besout 5, Slim River, di sini hari ini.
Nur Safiqah Abdullah, 25, berkata, rancangan mengadakan majlis perkahwinan itu secara kebetulan sama dengan tarikh pengundian PRK kali ini.
"Dalam kad pengundi menunjukkan waktu sepatutnya saya mengundi antara jam 2.30 dan 4.30 petang tetapi saya ambil keputusan untuk membuang undi pagi.
"Kebetulan jurumekap pun perlu mengundi pagi, jadi, saya tidak mahu menganggu waktu bersolek. Lagipun petang agak sibuk untuk adakan sesi bergambar,” katanya ketika ditemui di Felda Gunung Besout 4, di sini.
Menurutnya, tanggungjawab mengundi perlu ditunaikan dan menyifatkan peluang untuk mengundi kali kedua ini sebagai pengalaman paling bermakna.
"Walaupun tidak memakai baju pengantin dan tidak ditemani suami, Mohd Zulfahmie Azenal, 28, ia tetap menjadi kenangan manis buat saya,” katanya.
Nur Safiqah mengundi bersama ayahnya, Abdullah Zaini, 70, ibu, Nabsiah Yusof, 63 dan abang, Badrolsham, 40, di pusat mengundi berhampiran.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi serta S Santharasekaran.