TANJUNG MALIM - Semua penyokong parti diingatkan untuk tidak membuat perarakan meraikan kemenangan atau melakukan sebarang provokasi menjelang pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim malam ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, sebarang perhimpunan atau perarakan di mana-mana lokasi sama ada sebelum, semasa atau selepas penjumlahan rasmi dan pengumuman keputusan pilihan raya adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Menurutnya, hanya 30 penyokong bagi calon yang menang dan tiga penyokong bagi setiap calon lain yang bertanding dibenarkan hadir ke pusat penjumlahan rasmi undi di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).
"Atas faktor itu, pihak polis akan mendirikan sekatan jalan raya di lokasi sebagaimana hari penamaan calon yang lepas iaitu berdekatan susur keluar Tol Behrang dan berhampiran stesen minyak Shell di Tanjung Malim.
"Sekatan ini bergantung kepada situasi dan aliran trafik yang berlaku kerana kita dapati kesesakan jalan raya hari ini bukan sahaja berlaku di DUN Slim tetapi di Tanjung Malim dan Behrang juga," katanya.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, 43, dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, menggunakan lambang pokok dan mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta bekas guru S Santharasekaran, 44, lambang buku.
Ketiga-tiga calon yang bertanding itu bagaimanapun tidak mengundi di DUN berkenaan.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.