TANJUNG MALIM - Gelagat 'spiderman' menjual petai di tepi jalan di Slim River ini antara yang mencuri tumpuan di sebalik kehangatan hari mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini.
Usaha dilakukan pemuda dari Slim Village, T Selvakumar, 22, yang memakai kostum adiwira itu berjaya menarik orang ramai untuk singgah bergambar dan membeli hasil jualannya.
Penuntut jurusan perniagaan antarabangsa di sebuah kolej swasta itu aktif menjual sejak dua bulan lalu di sekitar Kuala Kubu Bharu, Rawang dan Batang Kali, Selangor serta daerah Muallim.
Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk meneruskan penjualan petai itu daripada mendiang datuknya bagi menyara neneknya, T Ambega, 64, yang kini di bawah jagaannya.
"Sebab utama saya berniaga adalah untuk mencari pendapatan sampingan untuk sara kami berdua. Lagipun nenek sudah tua dan dia perlukan perhatian.
"Mula-mula saya jual di tepi jalan kurang memberangsangkan, namun setelah pakai kostum ini bulan lepas jualan petai agak laris tambahan ada yang tularkan gambar saya jual di tepi jalan," katanya ketika ditemui di sini.
Selvakumar berkata, kemeriahan suasana pilihan raya antara faktor dia menjual di sekitar Slim River di sini.
"Setiap hari saya akan dapatkan petai daripada orang asli Kampung Ulu Slim untuk pastikan ia dijual segar kepada pelanggan.
"Setangkai jual RM10 dan setiap hari paling tinggi saya peroleh dalam RM300 tetapi ada kala tidak jual langsung," katanya.
Katanya, dia tidak pernah berasa malu untuk melakukan pekerjaan itu meskipun ada yang menyarankannya untuk bekerja kilang.
"Saya lebih selesa kerja begini kerana fleksibel tanpa sebarang tekanan serta memudahkan saya mengikuti kelas secara dalam talian.
"Lagipun saya tidak mahu jauh daripada nenek. Sepanjang memakai kostum ini, ada yang bergurau kasar tapi saya tidak ambil hati," katanya yang bercita-cita mahu menjadi polis.