SEBUT sahaja nama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau nama popular panggilan Toqqi, pastinya ramai rakyat Malaysia akan menyatakan mereka mengenali beliau.
Ini kerana peranan beliau dan persatuan tersebut yang telah banyak membantu orang ramai terutama mereka yang menjadi mangsa sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long serta pelbagai lagi masalah berkaitan kepenggunaan.
Meskipun kini usia Toqqi telah menjangkau 61 tahun, beliau masih gagah dan bersemangat dengan tugas-tugas membela nasib mereka yang tertindas dan mendidik masyarakat tentang isu pengguna.
Namun Nadzim sempat berkongsi kesukaran hidup yang pernah dialami ketika berusia 30 tahun berpunca daripada tindakan menjadi penjamin kepada pinjaman bank rakan kongsi ketika memulakan perniagaan.
Ia disebabkan oleh kegagalan rakannya itu untuk melunaskan pinjaman bank susulan perniagaan yang diusahakan tersebut tidak berjaya dan berdepan dengan kerugian.
"Bila kita menjadi penjamin kepada pinjaman seseorang dan jika perniagaan tersebut tidak berjaya, maka penjamin tersebut juga bakal berdepan dengan bankrap. Ya, saya pernah sampai kepada tahap diisytiharkan bankrap.
"Pada ketika itu saya sangat susah dan tersepit sehingga ada masa ketika sarapan pagi saya berkongsi roti canai sekeping berharga 80 sen dengan dua orang. Memang ketika itu saya betul-betul berdepan kesukaran,” katanya ketika diwawancara Sinar Harian semalam.
Katanya, disebabkan oleh kesusahan tersebut dan cuba untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi, beliau berusaha untuk bertemu dengan bapa kepada rakan kongsinya yang membuat pinjaman bank tersebut namun tidak menemui jalan penyelesaian.
"Mereka merupakan keluarga yang kaya dengan perniagaan besar dan pendapatan berjuta-juta. Saya kenal bapanya seorang yang kaya di mana setiap kali menyampaikan derma, jumlahnya mesti mencecah nilai juta ringgit Malaysia.
"Saya terpaksa berjumpa dengan bapanya kerana saya sukar untuk bertemu anaknya. Bapa beliau menyatakan dia tidak boleh bantu saya untuk selesaikan hutang yang dibuat oleh anaknya itu tetapi menawarkan untuk memberi wang bagi tujuan perbelanjaan makan dan minum. Niat kita untuk meminta bantuan menyelesaikan masalah kewangan,” katanya.
Usaha
Menurut Nadzim, setelah tiada sebarang penyelesaian, beliau berusaha sendiri dengan melakukan pelbagai pekerjaan hingga berjaya keluar daripada masalah tersebut.
Disebabkan perkara itu, Nadzim mengingatkan supaya setiap orang perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk melepaskan diri daripada kesusahan.
"Dalam dunia ini kita perlu ingat bahawa jangan hidup dalam keadaan susah kerana orang tidak akan menghormati kita. Pada ketika itu, saya melakukan pelbagai pekerjaan bagi meneruskan kehidupan dan melepaskan diri daripada kesusahan.
"Satu lagi apa yang saya belajar dalam hidup ini ialah jangan kita meminta-minta kerana akhirnya kita akan kembali kepada keadaan asal. Semuanya bermula daripada niat dan usaha kita,” katanya.
Selain itu, Nadzim turut berkongsi pengalamannya selama 25 tahun menjadi aktivis PPIM di mana terdapat individu pernah menawarkan wang berjumlah RM500,000 dan sebuah kenderaan mewah sebagai salam perkenalan menerusi peguamnya.
"Kita kena bersedia menghadapi segala-galanya kerana kalau boleh soal makan dan minum pun jangan sesekali kita mengambil hak orang. Kalau boleh makan di kedai pun kita belanja makan dan minum. Orang kita ini kalau boleh semua mahu orang yang belanja.
"Saya juga pernah ditawarkan oleh ah long untuk meminta apa sahaja yang dimahukan. Semua itu saya tolak dengan tegas kerana saya sentiasa berpegang dengan prinsip hidup dan perjuangan saya. Saya ingin membantu seramai mungkin orang yang menjadi mangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Nadzim berpendapat hanya satu hingga dua peratus tugas membantu mereka yang berdepan dengan kesusahan dan kesukaran dalam pelbagai isu daripada PPIM.
"Sepatutnya banyak lagi yang boleh kita buat untuk membantu orang. Isu ah long ialah salah satu masalah tetapi ada banyak lagi masalah lain yang mungkin orang ramai tidak perasan antaranya banyak orang Melayu berdepan dengan isu bankrap kerana tidak ada bantuan sewajarnya.
"Saya ambil satu contoh rumah yang dilelong oleh bank dan setakat ini kita berjaya menyelamatkan kira-kira 400 buah rumah daripada tindakan tersebut. Ada satu kes di mana sehari sebelum rumahnya dilelong pemilik rumah tersebut membuat panggilan kepada saya menyatakan kediamannya bakal dilelong, alhamdulillah saya menghubungi bank. Ada berita baik di mana mereka tidak melaksanakan tindakan tersebut dan ada perbincangan dengan pemiliknya selepas itu” katanya.
Jelasnya, kediaman merupakan sesuatu yang penting kepada sesebuah keluarga kerana itu merupakan tempat tinggal dan tempat berteduh.
"Bayangkan dengan satu panggilan yang memakan masa beberapa jam kita dapat selesaikan masalah yang datangnya daripada karenah pihak bank. Saya tidak kata semua tetapi kebanyakan bank ini kita nak jumpa keraninya pun susah untuk berbincang, apatah lagi pegawai yang mengendalikan kes tersebut.
"Bayangkan saya sebagai orang yang tidak ada apa-apa pangkat boleh membuat panggilan dan selesaikan masalah seperti ini. Jika saya Datuk Bandar mungkin lebih banyak masalah boleh diselesaikan dengan hanya satu panggilan,” katanya.