Negeri Sembilan kini zon hijau

Iklan
Negeri Sembilan kini zon hijau apabila tiada kes positif baharu Covid-19 direkodkan.

SEREMBAN - Semua daerah di negeri ini ditakrifkan sebagai zon hijau setelah tiada lagi kes baharu koronavirus (Covid-19) dicatatkan setakat laporan yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Covid-19 Negeri Sembilan (STFC) semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri yang dikeluarkan semalam, Negeri Sembilan merekodkan seminggu tiada kes baharu yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 kekal sebanyak 1,034 kes.

Iklan
Iklan

"Dari jumlah tersebut, 1,026 kes telah sembuh dan discaj, tiada kes yang menerima rawatan di wad dan lapan kes telah meninggal dunia.

"Tiada kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (Jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir), ini bermakna Negeri Sembilan telah kembali menjadi zon hijau keseluruhannya bermula semalam.

Iklan

"Sebanyak 325 kes positif Covid-19 adalah dari Kluster Pedas, 144 kes dari Kluster Ijtimak Tabligh di Seri Petaling dan 112 kes dari Kluster Sendayan dengan satu kematian," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dan berkorban dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Iklan

"Alhamdulillah, semua daerah dalam Negeri Sembilan diklasifikasikan sebagai zon hijau pada hari ini.

"Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua petugas barisan hadapan yang tidak henti-henti berusaha keras dalam memastikan pandemik ini tidak kembali menular.

"Saya turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, ini adalah hasil daripada pematuhan kita terhadap arahan pihak berkuasa serta pengamalan amalan kendiri," katanya dalam laman sosialnya semalam.

Menurutnya, walaupun Negeri Sembilan disahkan sebagai zon hijau tetapi masyarakat dinasihatkan supaya tidak leka dan alpa dengan situasi semasa.

Katanya, segala arahan yang dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) harus dipatuhi tanpa gagal bagi memastikan keselamatan serta kesihatan terus terjamin.

"Sama-samalah kita berdoa agar Negeri Sembilan terus kekal sebagai zon hijau sampai bila-bila, Insya-ALLAH," katanya.