SEMENYIH - Mayat seorang lelaki ditemui di dalam longkang berhampiran Taman Vista Valley semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat itu pada jam 8.29 malam dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi terlibat.
Menurutnya, sejurus tiba pasukan penyelamat mendapati mayat berkenaan berada di dalam longkang sedalam 20 kaki.
"Pasukan penyelamat telah mengeluarkan mayat mangsa yang berusia sekitar 20-an itu dari longkang berkenaan.
"Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan akan memberi laporan penuh berhubung penemuan mayat itu dalam masa terdekat.