SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dan semua parti pembangkang perlu kembali ke meja rundingan dan memperkukuhkan kekuatan mereka berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim malam tadi.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, jumlah undi 2,115 diperoleh calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi agak signifikan jika diukur kekuatan jentera calon itu berbanding jentera Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, DUN Slim adalah kawasan majoriti 75 peratus Melayu manakala undi yang diperoleh Amir Khusyairi menunjukkan pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih relevan dalam kalangan Melayu terutama di luar bandar.
"Dalam keadaan di mana pembangkang melawan kerajaan Melayu Islam di (PRK DUN) Slim, tidak dinafikan demografi Slim memberikan kelebihan kepada BN.
ARTIKEL BERKAITAN: BN kekal berkuasa di DUN Slim
"Namun undi atas premis perkauman ini tidak semestinya kekal lama jika isu ekonomi mula menjadi isu utama rakyat terutama pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selepas rakyat berhadapan kesan wabak koronavirus (Covid-19) kelak.
"Oleh sebab itu, penyatuan (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun M serta semua parti pembangkang akan membangkitkan gelombang baharu di kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.
Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, rakyat biasanya tertarik dengan gelombang baharu malah sejarah pilihan raya lalu menyaksikan undi diperoleh pembangkang meningkat setiap kali wujudnya gelombang baharu.
"Seperti gelombang reformasi tahun 98 dan gelombang kerjasama PH dan Tun M pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas. Kini Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional adalah gabungan baharu yang juga mungkin menjadi daya tarikan baharu kepada rakyat.
"Oleh itu, tidak mustahil kerjasama erat Anwar dan Tun M akan mewujudkan gelombang baharu boleh menarik sokongan rakyat pelbagai kaum dan segmen kerana masing-masing mempunyai kekuatan masing-masing.
"Dalam politik, mengurangkan musuh dan meramaikan kawan adalah penting, selain prinsip musuh kepada musuh adalah kawan,” katanya.