PASIR GUDANG - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai projek dan bidang.
MoU itu ditandatangani Rektor UiTM Cawangan Johor, Profesor Dr Ismail Ahmad dan Yang Di-Pertua MPPG, Zainor Adani dengan disaksikan ahli-ahli pengurusan eksekutif kedua-dua belah pihak di Menara Aqabah di sini.
Menurut Dr Ismail, MoU itu akan memberi tumpuan terhadap aspek-aspek pembangunan profesional, akademik dan projek-projek bersifat keusahawanan serta kelestarian alam sekitar.
"Ini termasuk projek edukasi solar di kampus Pasir Gudang yang mana bakal memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak di samping memberi pendedahan berkenaan proses penjanaan kuasa tenaga solar kepada masyarakat sekeliling.
"MoU tersebut turut menumpukan usaha mewujudkan persefahaman hubungan khidmat komuniti; menyediakan ruang kursus dan latihan yang relevan kepada penuntut," katanya ketika ditemui pemberita selepas MoU itu.
Katanya, ini termasuk peluang tajaan untuk melanjutkan pelajaran bagi warga MPPG di UiTM dan kerjasama dalam bidang berpotensi yang dipersetujui dari masa ke semasa.
Dr Ismail berkata, pihak UiTM telah menjalinkan kerjasama merangkumi pelbagai aspek semenjak pembukaan kampusnya di Pasir Gudang pada 2014.
Menurutnya, dengan termeterainya persefahaman tersebut, diharapkan agar lebih banyak kerjasama akan dapat dijalankan pada masa akan datang.
Sementara itu, Zainor berkata, kemampuan serta kepakaran dimiliki UiTM akan menjayakan kerjasama tersebut.
Katanya, MPPG melihat UiTM mempunyai pelbagai kepakaran yang mantap dan pihaknya yakin kolaborasi itu akan mendatangkan input dan impak positif terhadap kedua-dua pihak.
"Antara projek lain yang bakal diusahakan bersama-sama adalah Projek Sungai Angkat, Khidmat Komuniti Pelajar, Imam Tahfiz UiTM dan Taman Komuniti Pasir Gudang," katanya.