Covid-19: 17 kes baharu libatkan 15 import, dua penularan tempatan

Iklan
Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 17 kes baharu positif Covid-19 melibatkan 15 kes import dan dua penularan dalam negara dilapor hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu di negara ini sebanyak 9,334 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 160 kes.

Iklan
Iklan

"Daripada 17 kes baharu dilaporkan, 15 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan 11 warga Malaysia dan empat bukan warganegara.

"Sebanyak 15 kes import itu adalah dari India (12 kes di Kuala Lumpur); Arab Saudi (dua kes di Kuala Lumpur) dan Jepun (satu kes di Sarawak),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Mengenai dua kes penularan tempatan membabitkan warga tempatan, Dr Noor Hisham berkata, satu kes dikesan di Selangor melalui saringan kontak rapat kes positif ke-9,286, manakala satu kes di Kedah melalui saringan kontak rapat kes positif ke-9,284.

Dr Noor Hisham memaklumkan 10 kes telah pulih Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya 9,048 kes atau 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Iklan

Katanya setakat hari ini tujuh kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu sebanyak 126 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian ke-126 (kes ke-9,290) merupakan lelaki warga tempatan berumur 75 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, ‘Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD)’ serta penyakit jantung.

"Beliau mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi jangkitan paru-paru (pneumonia) kemudian beliau dibenarkan discaj dari hospital pada 18 Ogos.

"Pada 21 Ogos, beliau mengalami gejala batuk dan sesak nafas dan mendapatkan rawatan pada 24 Ogos di Hospital Sultanah Bahiyah. Ujian saringan menunjukkan beliau positif COVID-19. Keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos jam 5.10 petang,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan melindungi kumpulan berisiko tinggi akibat komplikasi jangkitan Covid-19.

Kumpulan yang berisiko tinggi adalah lebih rentan jangkitan termasuk penyakit Covid-19 termasuk warga emas; wanita mengandung; pesakit kronik (kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan lain-lain); dan pesakit imuniti rendah (kanser, human immunodeficiency virus, dan lain-lain).

Beliau berkata, individu daripada kumpulan itu perlu mengelak ke tempat tumpuan ramai; mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan; memakai pelitup muka di tempat yang sesak dan sempit; segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat dan kekal aktif.

"Kumpulan yang rentan ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19.

"Bagi ahli keluarga atau penjaga yang tinggal bersama individu dari kumpulan ini adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan individu berkenaan mendapat rawatan segera jika mempunyai gejala dan memastikan kebersihan diri diamalkan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata bagi komuniti yang tinggal di kawasan sama, mereka disaran mengamalkan penjarakan fizikal dengan individu itu pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter agar mereka terus dilindungi daripada jangkitan Covid-19.- Bernama