KUALA NERUS – [DIKEMASKINI]"Saya dah tak mampu bayar sewa rumah selepas berhenti kerja baru-baru ini sebab ayah asyik mengamuk tak mahu berenggang," demikian luahan Mohd Farihan Ab Hammid, 29, yang tabah menjaga bapanya yang lumpuh di Kampung Gong Pak Jin, di sini.
Katanya, masuk kali ini telah enam kali dia berhenti kerja dalam tempoh lima tahun sejak menjaga bapanya, Ab Hammid Mat Hussin, 63, yang terlantar sakit tujuh tahun lalu.
Terbaharu, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai pekerja kontraktor mengutip sampah di sebuah majlis bandaraya disebabkan bapanya sering mengamuk kerana enggan berenggang dan tidak mahu ditinggalkan di rumah.
"Sebelum ini saya pernah kerja sebagai pengawal keselamatan, kerja di kedai makan dan mesin rumput. Saya berhenti sebab terpaksa jaga ayah saya. Dia tak mahu orang lain duduk dengan dia sebab dia mahukan saya berada bersama dia dan uruskan dia.
"Saya terfikir sampai bila saya nak duduk dalam keadaan macam ini, apabila saya berhenti kerja saya tak dapat bayar sewa rumah. Isteri saya pula tidak bekerja,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mohd Farihan berkata, dia sebolehnya mahu memiliki rumah bantuan kerajaan bagi meringankan kos sara hidup yang ditanggung.
"Sebelum ini saya ada mohon untuk mendapatkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) malangnya saya tiada tanah sendiri untuk bina rumah. Sekarang saya duduk di sini dengan bayaran RM300 sebulan. Saya buntu sebab ada juga bayaran sewa rumah yang tertunggak.
"Jadi, saya sekarang tak tahu macam mana cara untuk dapatkan sebuah rumah dengan kadar bayaran yang rendah bagi menempatkan ayah, isteri dan anak,” katanya yang memiliki seorang cahaya mata, Nur Aleya Qalesya, 4.
Terdahulu, kisah mereka ditularkan seorang pengguna laman sosial Facebook setelah terserempak dengan Mohd Farihan yang ketika itu membawa bapanya di dalam raga motosikal di sebuah pasar raya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi ramai, ada yang memuji tindakan Mohd Farihan malah ada juga reaksi daripada mereka yang mengatakan sering terserempak dengan Mohd Farihan bersama bapanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dukung ayah hari-hari
Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, Mohd Farihan yang berasal dari Jerteh, Besut berkata, dia sering berpindah-randah sehingga pernah menghuni 25 buah rumah sewa demi keselesaan bapanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1100341000073407 atas nama Ab. Hammid Mat Hussin atau hubungi Mohd Farihan di talian 013-4604362.