Penerima PJM dicadang terima elaun bulanan

Iklan
Ismail Sabri menyampaikan pingat PJM kepada salah seorang penerima di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram hari ini.

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertahanan bercadang mahu menjadikan elaun Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai elaun bulanan kepada 29,000 bekas anggota tentera.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kertas cadangan bagi elaun bulanan itu akan dibawa segera ke Kabinet.

Iklan
Iklan

Katanya, setakat ini, lebih 121,000 bekas anggota tentera layak menerima PJM dan daripada jumlah itu seramai 29,000 telah menerima PJM sejak dilaksanakan pada Mac 2004.

"Setakat ini mereka hanya terima pingat tetapi tiada elaun bulanan. Justeru, untuk sara hidup, kita cuba memohon kepada kerajaan. Cadangan elaun bulanan anggaran RM300 hingga RM350.

Iklan

"Elaun ini juga sebagai keprihatinan kerajaan terhadap penghargaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini hari ini.

Iklan

Penganugerahan PJM ini merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera yang berjuang dengan keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan negara daripada ancaman komunis.

Pada 11 Oktober tahun lalu semasa Pembentangan Belanjawan 2020, PJM diberikan bayaran sekali beri (one-off) sebanyak RM500.

Fasa pertama dan kedua pembayaran sudah dibuat kepada 70,000 veteran ATM melibatkan mereka yang berpencen dan tidak berpencen melibatkan RM35 juta.