5,262 keluarga di PKPD Amanjaya terima bantuan makanan

Iklan
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan peralatan perubatan antara Kwan Swee (dua dari kiri) dan Dr Mohd Fikri (dua dari kanan) di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR - Seramai 5,262 ketua keluarga yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani akan menerima bantuan makanan secara berperingkat dalam minggu ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri telah mengagihkan bantuan makanan tersebut kepada 2,100 ketua keluarga bermula semalam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua ketua keluarga yang tinggal di kawasan Zon Kenanga, Melur dan Mawar akan diberikan bantuan makanan kerana mereka dikuarantin di rumah sejak PKPD dikuat kuasa pada Jumaat lalu.

"Bantuan sebanyak 863 pek mula diagihkan semalam, hari ini 1,237 pek dan agihan diteruskan esok hingga selesai. Kita akan pastikan semua yang terlibat dengan PKPD mendapat bekalan secukupnya.

Iklan

Turut diedarkan kepada penduduk ialah senarai peniaga dalam talian untuk mereka dapatkan keperluan harian tanpa perlu keluar rumah, agar bekalan makanan tidak terputus,” katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan sumbangan peralatan perubatan oleh Kelab Rotary Alor Setar kepada Hospital Sultanah Bahiyah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, mana-mana pihak atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan sumbangan dialu-alukan berbuat demikian namun perlu menyerahkan bantuan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Kuala Muda.

Iklan

"Mereka tidak dibenarkan membuat penghantaran sendiri ke rumah kerana bimbang akan berlaku penularan wabak Covid-19,” katanya.

Menurutnya, majikan turut diminta memberi kerjasama kepada pekerja di kawasan PKPD susulan tidak dapat keluar bekerja dalam tempoh terbabit.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan berupa 50 unit kerusi roda dan tujuh unit penyukat suhu digital daripada Gabenor Daerah (District Governor) Kelab Rotary Alor Setar, Teoh Kwan Swee kepada Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang yang mewakili Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Dr Mohd Fikri berkata, buat masa ini bekalan peralatan pelindungan diri (PPE) masih mencukupi dan mampu bertahan untuk tempoh dua bulan.

"Sekiranya ada pihak yang ingin menyumbang PPE amat digalakkan bagi memastikan kelancaran petugas untuk menangani pandemik ini, memandangkan Kedah kini berdepan peningkatan kes berbanding negeri lain,” katanya.