Noh lapor polis dirinya difitnah

Iklan
Noh (depan, lima dari kiri) bersama sebahagian penyokongnya membuat laporan polis di Balai Polis Tanjong Karang, hari ini.

TANJONG KARANG - UMNO Bahagian Tanjong Karang membuat lima laporan polis berhubung fitnah menggunakan gambar Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar kononnya mengedarkan wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Noh berkata, tindakan beberapa pemilik akaun Facebook dipercayai penyokong pembangkang yang memuat naik status dan gambar itu jelas fitnah jahat yang sengaja direka selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRK Slim kelmarin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangkang seolah-olah tidak serik dengan 'pembohongan' dilakukan hingga menyebabkan mereka ditolak rakyat dalam beberapa PRK sebelum ini.

"Kamu (pembangkang) sudah kalah besar di (PRK) Slim (sepatutnya) terimalah hakikat bahawa rakyat sudah menolak pembangkang," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Tanjong Karang di sini hari ini.

Iklan

Noh yang juga Pengerusi UMNO Selangor berkata, tujuan laporan polis itu dibuat bagi menjaga maruah dan integriti BN yang menang besar pada PRK DUN Slim.

Beliau berkata, gambar disebar di Facebook itu merupakan gambar beliau mengagihkan sumbangan bantuan awal persekolahan kepada ibu bapa di salah sebuah sekolah di Parlimen Tanjong Karang ketika beliau memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sewaktu zaman pemerintahan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Iklan

Katanya, pada waktu itu kerajaan menyediakan peruntukan awal persekolahan dengan setiap pelajar mendapat RM100 yang diberi semasa beliau menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Sehubungan itu, beliau berharap polis berkuasa dapat membuat siasatan lanjut berhubung fitnah terbabit dan beliau turut memberitahu akan membawa perkara berkenaan pada Sidang Parlimen akan datang.