Patriotisme bukan sekadar semangat

Iklan

PATRIOTISME adalah satu perkara yang amat penting kepada rakyat setiap negara. Ia bukan sekadar luahan perasaan tetapi menuntut kepada penghayatan oleh setiap warganegara.

Patriotisme juga bukan sekadar semangat, tetapi ia merupakan sesuatu yang agung melibatkan soal keyakinan, kesetiaan, kewarganegaraan, keberanian, kemerdekaan, jati diri dan kedaulatan.

Iklan
Iklan

Nasionalisme adalah gerakan mencipta masyarakat yang lebih terbuka untuk mendapatkan kebahagiaan perseorangan, bagi menjamin kemerdekaan warganegara dan membebaskan akal dan fikiran. Dengan kata lain, nasionalisme itu adalah satu semangat.

Oleh itu, kebudayaan seperti agama, bahasa dan lain-lain boleh menimbulkan semangat nasionalisme. Melalui elemen-elemen tersebut juga, ia mampu mewujudkan semangat yang dapat melahirkan satu identiti baharu bagi negara yang dijajah. Semangat nasionalisme juga dapat melahirkan perasaan bersatu padu antara rakyat yang dijajah.

Iklan

Secara keseluruhannya, nasionalisme bertujuan untuk membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing. Namun begitu pengertian nasionalisme dalam konteks selepas merdeka pula lebih menjurus sebagai satu perjuangan bagi mempertahankan maruah dan mempertinggikan martabat serta kedaulatan negara.

Semangat patriotisme merupakan nadi kepada kebebasan, kemerdekaan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara.

Iklan

Kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sesebuah negara akan membawa kepada kegoyahan dan penderitaan kepada rakyat.

Patriotisme juga akan melahirkan rakyat yang akan berkhidmat dengan cekap, yakin dan jujur dalam tindakan mereka seperti yang diungkap oleh Presiden Theodore Roosevelt (1969):"Semangat patriotik akan menjadikan seseorang itu berkhidmat demi negaranya... dalam apa keadaan pun, adalah dianggap tidak patriotik kalau tidak bercakap benar, sama ada berhubung dengan Presiden ataupun berhubung dengan sesiapa saja.”

Menurut tokoh pendidikan dan ekonomi, Profesor Diraja Ungku Aziz:"Patriotisme tidak harus dipandang sepi oleh rakyat sehingga rasa kesetiaan kepada negara sekadar ungkapan dan tanggungjawab yang hanya terletak di atas bahu pemimpin lapisan pertama iaitu Perdana Menteri yang rapat dengan mereka.” Patriotisme

Oleh itu, semangat patriotisme yang tinggi perlu ada dalam diri rakyat yang menjadi tonggak utama kepada pembangunan sesebuah negara.

Tanpanya negara akan musnah dan hancur bukannya kerana diserang musuh tetapi kemusnahan adalah disebabkan kegagalan rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap negara.

Dalam konteks Malaysia patriotisme perlu ada pada diri setiap rakyat Malaysia. Ini kerana kemerdekaan yang kita kecapi bukan dicapai dalam masa yang singkat tetapi berlangsung dalam suasana yang dramatik dan tidak harus kita lupakan bagi mengekalkan kesinambungan kemerdekaan yang telah dicapai.

Semangat patriotisme terhadap negara tidak sewajarnya hanya timbul dalam perjuangan menuntut kemerdekaan atau apabila negara berada dalam ancaman musuh semata-mata.

Dalam keadaan aman, umpamanya, semangat patriotisme seharusnya menjadi pendorong kepada setiap rakyat yang cintakan negaranya untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh bagi membangun dan memajukan negaranya.

Perbezaan dari segi ideologi, kaum dan parti politik dalam sesebuah negara berkenaan sepatutnya tidak dijadikan sebagai suatu halangan kepada usaha untuk memakmurkan negara.

Semangat patriotisme adalah penting kepada semua lapisan rakyat sesebuah negara. Tidak kira sama ada dia seorang petani, nelayan, kakitangan awam atau seorang buruh sekalipun, mereka perlulah mempunyai semangat kecintaan yang menebal ke atas negara mereka.

Tanpanya individu dan masyarakat negara berkenaan akan berpecah-belah kerana masing-masing lebih menumpukan kepada diri atau puak masing-masing dan melupakan tanggungjawab mereka terhadap negara. Semangat patriotisme menjadi lebih penting lagi kepada negara kita pada masa kini.

Hal ini mustahak kerana negara kita didiami oleh rakyat yang mempunyai perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik yang begitu ketara.

Akibatnya jika rakyat negara kita meletakkan semangat perkauman, kefahaman ideologi politik atau parti politik sebagai lebih utama daripada negara tentulah pembangunan dan kemajuan tidak akan dapat dicapai.

Oleh itu, dalam situasi masyarakat yang sebegini, keperluan terhadap semangat patriotisme dalam kalangan rakyat adalah begitu penting.

Semangat patriotisme ini akan menghalang rakyat Malaysia daripada bersikap prejudis terhadap mana-mana kaum, agama mahupun ideologi parti yang berbeza dengan mereka.

Dalam erti kata lain mereka akan meletakkan kepentingan negara lebih tinggi daripada kepentingan peribadi mahupun kaum masing-masing.

Patriotisme adalah suatu gagasan pembinaan negara bangsa yang besar, ia bukan sekadar semangat atau isu politik yang boleh dijadikan gimik. Patriotisme melibatkan seluruh individu dalam sesebuah negara.

Lantaran itu, ia melibatkan sesuatu yang agung yang terjalin daripada aspek keyakinan, keberanian, kebijaksanaan, kesungguhan dan kesinambungan. Patriotisme juga merujuk kepada ikatan spiritual antara individu dan negara. Ikatan tersebut berasaskan kepada semangat cintakan negara dan sanggup berkorban untuk mempertahankannya.

Seseorang insan yang tidak tergerak jiwanya oleh perasaan cinta terhadap ibu pertiwinya dianggap sebagai manusia yang telah hilang jati dirinya. Patriotisme boleh dilihat dalam dua keadaan, iaitu tersirat dan tersurat.

Perasaan

Bentuk tersurat boleh dilihat dalam luahan patriotisme berdasarkan simbol-simbol yang digunakan seperti bendera, lagu kebangsaan, Rukun Negara, dasar kerajaan, perbarisan Hari Kebangsaan dan sebagainya.

Bagi perspektif tersirat pula ia lahir daripada sikap dalaman seperti adat resam, nilai, budaya dan pelbagai lagi. Kemungkinan cara melahirkan penghayatan patriotisme yang terdahulu tidak lagi dapat menarik minat generasi pascamerdeka, kerana generasi itu tidak tersentuh oleh faktor-faktor yang sama dengan generasi terdahulu.

Namun, walaupun bentuk penghayatannya berbeza, tetapi yang penting adalah kewujudan perasaan cintakan negara dan kesanggupan untuk meningkatkan imejnya. Semangat patriotisme seperti yang dipersetujui oleh banyak pihak adalah suatu tuntutan dan keperluan dalam kehidupan manusia.

Lantaran itu, bagi mengembalikan semangat patriotisme, sejarah dan sivik mesti dijadikan sebagai landasan kerana melaluinya manusia semasa dapat mempelajari segala liku-liku yang terpaksa ditempuhi oleh generasi sebelumnya untuk mewariskan sebuah kehidupan bagi generasi berikutnya.

Segala kesusahan yang ditempuhi oleh generasi terdahulu dapat dijadikan sebagai iktibar untuk merangka tamadun yang lebih tinggi untuk generasi yang kemudiannya pula.

Melalui cara itulah, tamadun manusia berkembang dan nadi kepada perkembangannya terletak pada semangat patriotisme.

Pengorbanan tokoh-tokoh zaman silam mestilah dikenang dengan sebaik-baiknya kerana mereka merupakan sejarah perjuangan gemilang untuk memartabatkan patriotisme negara.

Negarawan merupakan lambang atau simbol kejayaan sesebuah bangsa yang merdeka. Mereka merupakan generasi yang menjadi pelopor kepada kemerdekaan dan kemajuan kita yang nikmati hari ini.

Perpaduan dan penghadaman leluhur sejarah dan doktrin Rukun Negara serta peraian sesama kita adalah kunci utama kepada kelangsungan negara Malaysia. Dirgahayu negaraku Malaysia yang ke-63 tahun.

*Ku Hasnan Ku Halim ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia