PERSATUAN Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh perlu mengadakan perbincangan lanjut dalam usaha menyelesaikan permasalahan wujud dalam kalangan kedua-dua pihak pada ketika ini.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, PBNP dan pemain berusia 25 tahun itu juga perlu berusaha mengenal pasti permasalahan yang berlaku seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkenaan.
Bagaimanapun menurut Sathianathan, dia tidak dapat memberikan komen lanjut kerana tidak banyak perkara yang diketahuinya berhubung perkara berkenaan.
"Saya tidak boleh komen sebab saya tak tahu isu itu, tetapi bagi saya kalau Sumareh ada kontrak, Pahang kena berbincang dengan dialah dan tanya apa masalah dan sebagainya.
"Saya harap mereka akan berbincanglah, kadang-kadang pemain ni kita kena tahu, kita tak boleh biarkan macam tu, kita kena cari masalah tu dan kenapa ini masalah berlaku?
"Apa pun, majikan dan pemain memang kena saling hormat menghormati antara satu sama lain dan bagi saya perbincangan adalah cara terbaik menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Semalam, PBNP mengakui kecewa dengan tindakan tonggak Harimau Malaya itu yang tidak menghadiri sesi latihan bersama skuad Tok Gajah sejak sebulan lalu.
Menurut Pengurus Pahang, Datuk Suffian Awang, Sumareh seharusnya bertindak profesional memandangkan Tok Gajah menjadi pasukan yang banyak membantu menaikkan namanya dalam arena bola sepak tempatan.
Situasi berkenaan juga semakin menguatkan khabar angin yang mengatakan Sumareh bakal berhijrah ke pasukan lain pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Sementara itu, Sathianathan berkata, dia berharap perkara berkenaan tidak berpanjangan kerana Sumareh dilihat sebagai pemain yang penting kepada skuad Tok Gajah berkenaan.
"Kena cari masalah yang ada dan Sumareh pula perlu sedia untuk berdepan dengan pihak pengurusan pasukan dan selesaikan apa juga masalah yang ada. Saya harap benda ni tak akan pergi jauhlah,” katanya.