20 ditahan dalam Op Ambang Merdeka di JB

Iklan
Ujian alkohol dilakukan pihak polis ke atas seorang pengguna jalan raya dalam Op Ambang Merdeka di Stulang Laut, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU - Seramai 20 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Ambang Merdeka oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor yang dilakukan serentak di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini malam tadi.

Ketua JSPT Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, daripada jumlah itu seramai 11 individu berusia 20 hingga 50 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan akan disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Iklan
Iklan

"Selain itu tujuh individu lagi yang berumur 15 hingga 22 tahun ditahan ketika Op Samseng Jalanan (OSJ) di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana melakukan aksi berbahaya di jalan awam.

"Dua lagi yang ditahan berumur 43 dan 57 tahun di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selepas didapati positif dadah jenis methafetamin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Katanya, sebanyak 589 saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, mengubah suai kenderaan, nombor pendaftaran dan lain-lain kesalahan.

"Sebanyak 74 buah kenderaan pelbagai jenis turut disita dalam operasi lima jam bermula jam 11 malam yang melibatkan 21 pegawai kanan dan 167 anggota," katanya.

Iklan

M Kumarasan berkata, objektif utama operasi berkenaan bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan tidak dicemari dengan aktiviti seperti lumba haram, memandu dalam pengaruh alkohol, penyalahgunaan dadah sekali gus mencegah daripada berlakunya kemalangan jalan raya dan kejadian jenayah.

"Penugasan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi hotspot dan terancang yang menyasarkan pemandu mabuk dan risikan maklumat daripada Skuad 42 bagi aktiviti samseng jalanan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, statistik operasi dan tangkapan JSPT Johor bagi bulan ini melibatkan 66 operasi dan 112 tangkapan.

"Sepanjang tempoh itu, 45 Op Mabuk dilakukan dengan 72 tangkapan dan 21 OSJ dilakukan dengan 40 tangkapan," katanya.