SHAH ALAM - Kerajaan negeri perlu memandang serius insiden bekalan elektrik terputus di Pulau Kapas beberapa hari lalu kerana pulau peranginan itu menjadi daya tarikan utama pelancong.
Bekas Pengerusi Persatuan Pelancongan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, sudah tiba masanya perancangan menambah baik bekalan elektrik dilakukan selepas lama tertangguh di pulau peranginan itu.
Menurutnya, pengusaha hotel di Pulau Kapas mengalami masalah sejak beberapa minggu. Akibat terputus bekalan elektrik, ada pelancong di pulau terpaksa dipindahkan ke tanah besar dengan bot pada tengah malam dengan risiko tinggi keselamatan nyawa.
"Imej keselamatan di Terengganu terjejas jika berlaku, sedangkan negeri ini sedang popular terutamanya ketika tempoh perjalanan keluar negara masih tidak di benarkan.
"Selain isu bekalan infrastruktur asas itu, kemudahan pengangkutan udara terus ke lapangan terbang Kuala Terengganu bertaraf antarabangsa dari destinasi utama seperti Singapura dan Pulau Pinang juga sudah tidak berfungsi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya, bilangan penerbangan ke lapangan terbang Terengganu kurang dari separuh penerbangan di Kota Bharu walaupun Kelantan tidak mempunyai pulau pelancongan seperti di Terengganu.
Dalam pada itu Raja Kamarul Bahrin berkata, polisi serta garis panduan rekreasi, kebudayaan serta kesenian dan hiburan juga masih belum jelas.
"Kenyataan tidak konsisten daripada kerajaan mengenai pantang larang serta garis panduan di negeri menimbulkan banyak keraguan dan kebimbangan pengusaha pelancongan.
"Kerajaan negeri perlu memberi perhatian utama memelihara warisan dan aset warisan untuk memajukan industri pelancongan Terengganu kerana inilah industri masa depan yang akan menjadi tunggak utama penyelamat ekonomi Terengganu apabila minyak dan gas sudah tiada lagi," katanya.
Menurutnya, pelancongan adalah industri yang boleh memberi peluang pekerjaan dan perniagaan yang paling banyak kepada masyarakat.
Bagaimanapun tambahnya, selagi kerajaan Terengganu tidak menukar sikap dan keutamaannya terhadap pentingnya industri pelancongan negeri di kendalikan, Terengganu akan terus kehilangan aset paling unik dan berharga.