KUALA LUMPUR - Polis mengeluarkan sebanyak 1,138 saman dalam Operasi Ambang Merdeka di sekitar ibu negara malam tadi.
Operasi sepasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula jam 10 malam hingga 6 pagi itu dilakukan di sekitar Jalan Duta Mas, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Perak, Jalan Parlimen dan beberapa lokasi lain.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, menerusi Op Mabuk, tiga pemandu telah ditahan dan 10 saman dikeluarkan.
"Selain itu, Op Motosikal pula telah mengeluarkan 362 saman atas pelbagai kesalahan. Bagi Op Had Laju pula, 20 saman dikeluarkan.
"JSPT Kuala Lumpur turut mengeluarkan 746 saman bagi Op Halangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Zulkefly berkata, lima remaja lelaki berusia 15 hingga 19 tahun ditahan dalam Op Lumba Haram di Dataran Merdeka dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang.
Katanya, mereka yang ditahan dikesan melakukan pelbagai aksi bahaya antaranya zig-zag, wheelie dan bersaing sesama sendiri dengan menunggang motosikal jenis Honda EX-5 dan Yamaha LC135.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.