Hanya dapat 'video call' dengan suami tunjuk anak

Iklan
Nur Amirah gembira anaknya lahir pada 31 Ogos di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

SEREMBAN -"Sedihlah sebab bersalin kali ini suami tak dapat teman kerana terikat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Tapi saya gembira kerana pujukan saya dan suami supaya anak ketiga kami 'keluar' pada 31 Ogos berhasil," kata Nur Amirah Meslan, 26.

Iklan
Iklan

Nur Amirah antara tujuh ibu yang selamat melahirkan anak mereka sempena Hari Kebangsaan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini setakat jam 11 pagi tadi.

Menurutnya, dia dijangka bersalin pada 16 September iaitu Hari Malaysia, tetapi terpaksa dimasukkan ke hospital pada Sabtu lalu apabila mula berasa sakit mahu bersalin.

Iklan

"Saya bersyukur anak ketiga saya seberat 3.3 kilogram selamat dilahirkan secara normal," katanya.

Dua daripada tujuh bayi merdeka yang selamat dilahirkan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban setakat jam 11 pagi tadi.

Nur Amirah yang juga suri rumah berkata, selepas selamat bersalin jam 3.38 pagi tadi, suaminya hanya berpeluang melihat anak mereka secara panggilan video kerana tidak dibenarkan masuk ke wad.

Iklan

Bagaimanapun katanya, pengalamannya bersalin kali ini akan diingati sampai bila-bila kerana pada waktu PKPP dan anaknya pula lahir pada tarikh istimewa.

Seorang lagi ibu, Fauziah Hassan Basri, 34, berkata, dia teruja kerana pertama kali melahirkan anak pada tarikh istimewa.

"Saya betul-betul tak sangka kerana ikut jangkaan saya bersalin pada 9 September, tapi semalam saya sudah rasa sakit nak bersalin dan suami terus bawa saya ke hospital.

"Tepat jam 4.34 pagi tadi anak kelima saya seberat 3.25 kilogram selamat dilahirkan secara normal," katanya.