Kegembiraan berganda sambut bayi merdeka

Iklan
Pei Jia (tengah) bersama ibunya, Moi Lian menerima kerusi keselamatan bayi daripada Pengurus Kewangan KPJ Puteri, Mazleena Azal hari ini.

JOHOR BAHRU - Kegembiraan jelas terpancar di wajah Ti Wei Change, 31, dan Sam Pei Jia, 29, apabila bayi sulung mereka dilahirkan pada Hari Kebangsaan.

Bayi perempuan pasangan yang berasal dari Pekan Nanas itu dilahirkan pada jam 2.37 pagi disifatkan hadiah paling bermakna.

Iklan
Iklan

Pei Jia yang bekerja sebagai jurujual berkata, dia dijangka melahirkan bayinya pada 5 September, namun mula berasa sakit sejak semalam.

"Saya dan suami ada bergurau mungkin bayi nak buat kejutan hadiah ulang tahun, rupa-rupanya dia memilih 31 Ogos di saat rakyat Malaysia menyambut merdeka.

Iklan

"Rasa sangat bertuah dan gembira, proses kelahiran bayi secara normal dan sangat mudah,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar KPJ Puteri di sini hari ini.

Pei Jia mencium bayinya yang lahir pada 31 Ogos di Hospital Pakar KPJ Puteri, Johor Bahru.

Dia yang ditemani ibunya, Law Moi Lian, 60, menerima kerusi keselamatan bayi sebagai hadiah daripada pengurusan hospital.

Iklan

Katanya, rakan-rakan dan ahli keluarga ada menyarankan agar dia meletakkan nama ‘cintakan negara’ dalam bahasa Cina, namun dia dan suami belum memutuskan nama bayi mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Puteri, Haliza Khalid berkata, setiap kelahiran di KPJ Puteri akan menerima kerusi keselamatan bayi bersempena kempen merdeka dari 29 Ogos sehingga 31 Disember.

"Kempen ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan sokongan bagi pelaksanaan pemakaian kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak yang dikuatkuasakan.

"Ia juga diharap dapat meringankan perbelanjaan keluarga bagi menyediakan peralatan keselamatan ini,” katanya.