Zimbabwe siasat kematian misteri 12 ekor gajah

Iklan
Gambar fail menunjukkan dua ekor gajah di Taman Negara Hwange, utara Zimbabwe. - Foto AFP

JOHANNESBURG - Pihak berkuasa Zimbabwe kini menyiasat kematian 12 ekor gajah pada minggu lalu di dalam hutan Taman Negara Hwange, utara negara itu, kata seorang pegawai semalam.

Sebanyak 11 bangkai haiwan itu ditemui pada Jumaat lepas dan satu lagi pada Sabtu lalu di hutan Pandamasuwe yang terletak antara Hwange dan bandar Victoria Falls.

Iklan
Iklan

"Kami telah mengetepikan perkara seperti pemburuan haram kerana gading haiwan itu berada dalam keadaan sempurna. Kami juga menolak keracunan sianida kerana tidak ada haiwan lain yang terjejas termasuk burung hering yang memakan bangkai gajah itu," kata jurucakap taman negara itu dan hidupan liar, Tinashe Farawo kepada AFP.

Haiwan yang mati itu berumur lima tahun, enam tahun serta 18 bulan.

Iklan

Farawo berkata, petunjuk awal kematian adalah kemungkinan terdapat sejenis bakteria kerana gajah itu mempunyai bilangan yang terlalu banyak sehingga mengakibatkan tumbuhan-tumbuhan kegemaran haiwan itu tidak lagi berada di kawasan itu.

Keadaan itu menyebabkan ia memakan apa sahaja termasuk tumbuh-tumbuhan beracun, ujarnya. - AFP

Iklan