AS dihantui dengan militia kulit putih

Iklan
Seorang anggota pihak berkuasa berdiri di tepi garisan polis di lokasi kejadian tembakan di Portland, Oregon pada Sabtu lalu. - Foto AFP

SATU siri kejadian tembakan dalam beberapa tunjuk perasaan di Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja dijadikan modal politik oleh calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya presiden negara itu tetapi juga mencetuskan persoalan tentang isu militia orang kulit putih.

Pada Sabtu lalu, seorang lelaki mati ditembak di bahagian dada dalam satu pergaduhan melibatkan sekumpulan para penyokong Presiden AS, Donald Trump dengan penunjuk perasaan Black Live Matter (BLM) yang menentang keganasan polis di bandar raya Portland, Oregon.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu atau siapa yang disyaki melepaskan tembakan sehingga mengakibatkan kematian seorang penunjuk perasaan berkulit putih tetapi pro-BLM dikenali sebagai Aaron 'Jay' Danielson.

Dalam kejadian itu, pergaduhan berlaku ketika para penyokong Trump yang menaiki hampir 600 buah kenderaan dan mengibarkan sepanduk bagi menyokongnya mempertahankan jawatan Presiden AS terlibat dengan perbalahan dengan para penunjuk perasaan BLM di sebuah kawasan di Portland.

Iklan

Tunjuk perasaan BLM itu juga diadakan bagi menentang kekejaman polis ke atas seorang pemuda kulit hitam, Jacob Blake, 29, yang ditembak tujuh kali di bahagian belakang badan pada 19 Ogos lalu oleh seorang pegawai polis berkulit putih di Kenosha, di negeri Wisconsin, Rusten Sheskey.

Satu rakaman video oleh seorang pejalan kaki menunjukkan anggota polis itu menarik belakang bajunya ketika dia mahu memasuki kenderaan utiliti lasak (SUV) sebelum dia ditembak pada jarak dekat ketika tiga orang anaknya berada di dalam SUV tersebut.

Iklan

Tembakan itu menyebabkan dia lumpuh dan kejadian tersebut berlaku selepas polis bertindak balas terhadap panggilan seorang wanita yang menyatakan seorang teman lelakinya tidak sepatutnya berada di dalam rumahnya.

Namun, setelah kejadian itu, satu siri tunjuk perasaan yang kadangkala ganas bagi membantah kekejaman polis akibat kejadian itu telah berlaku di Kenosha.

Kesan daripada demonstrasi itu, seorang lelaki muda berkulit putih, Kyle Rittenhouse yang berusia 17 tahun dan menggelarkan dirinya sebagai penyokong militia telah didakwa membunuh dua orang dan mencederakan seorang lagi dalam tunjuk perasaan bagi membantah kekejaman polis ke atas Blake di Kenosha.

Dia yang berasal dari Illinois dan dipercayai menggunakan selaras raifal AR-15 telah ditahan polis pada 26 Ogos lalu akibat insiden itu yang berlaku pada 25 Ogos lalu.

Semua tunjuk perasaan yang menentang kekejaman polis itu bermula ekoran kematian seorang pemuda kulit hitam, George Floyd yang meninggal dunia juga akibat tindakan polis yang melakukan teknik 'menekan' lutut pada lehernya sehingga dia mendakwa sukar bernafas dan meninggal dunia pada Mei lalu.

Para penunjuk perasaan berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap keganasan polis terhadap pemuda kulit hitam, Jacob Blake di Minneapolis, baru-baru ini. - Foto AFP

Susulan kematian Floyd di Minneapolis, satu siri tunjuk perasaan berlaku di AS sehingga menyebabkan sentimen antiperkauman 'dipertunjukkan' dalam tunjuk-tunjuk perasaan yang kemudian merebak ke negara-negara maju lain.

Patung penjelajah Itali yang terkenal Christopher Columbus ditumbangkan di negeri Minnesota dan beberapa patung lagi diconteng bagi menyatakan kemarahan berhubung ketidakadilan perkauman dan penguasaan orang berkulit putih di AS.

Menurut portal berita HuffPost, seorang ahli akademik di Pusat Analisis Hak-Hak Radikal dan juga penulis buku Against the Fascist Creep berkata, para anggota hak-hak golongan kanan telah 'menampilkan diri' bagi menentang bantahan BLM di AS sebanyak 497 kali pada tahun ini.

Justeru, kejadian tembakan yang melibatkan golongan militia berkulit putih itu juga dipercayai berlaku akibat layanan pihak polis yang berbeza sekali gus mendorong kumpulan-kumpulan militan berkulit putih melakukan keganasan.

Ini adalah kerana menurut Portal The Atlantic, seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). Michael German berkata, apabila pihak penguat kuasa undang-undang bertindak dengan cara yang lembut terhadap pertubuhan-pertubuhan berhaluan kanan, ia akan mengakibatkan kumpulan tersebut condong untuk percaya sebarang keganasan dilakukan oleh mereka seolah-olah sesuatu yang dibenarkan.

Ia mungkin menjelaskan punca kejadian tembakan dalam tunjuk perasaan di Kenosha.

German sebelum ini pernah terlibat selama berbulan-bulan bagi melakukan kajian terhadap militan berkulit putih yang berhaluan kanan pada awal tahun 1990-an.

Justeru katanya, ia membolehkan kumpulan-kumpulan tersebut menjadi 'raksasa' yang kemudian sukar untuk dihapuskan.

Dalam perkembangan berkaitan, wartawan dan para penyelidik yang turut menyelidiki latar belakang tentang kehidupan Rittenhouse gagal menemui sebarang bukti kukuh bahawa dia terlibat dalam militia antikerajaan atau kumpulan lelaki bersenjata.

Namun, menurut laporan The Sun, remaja dari Antioch, IIIinois itu menjadikan pihak polis sebagai idolanya selain dia pernah tercicir daripada belajar di sebuah sekolah tinggi.

Gambar menunjukkan Kyle Rittenhouse memegang selaras raifal dalam satu tunjuk perasaan yang mengakibatkan dua orang terbunuh dan seorang lagi cedera di Kenosha, Wisconsin baru-baru ini. - Foto Twitter

Portal berita itu juga melaporkan bahawa dia ialah seorang kadet di Jabatan Bomba Antioch dan Jabatan Polis Grayslake.

Rittenhouse dikatakan memandu sejauh 16 kilometer dari Antioch dan menyeberangi sempadan ke Kenosha dengan membawa selaras raifal dan memberitahu Daily Caller:"Sebahagian tugas saya ialah melindungi orang."

Berikutan pilihan raya presiden akan berlangsung pada 3 November ini, kejadian-kejadian tunjuk perasaan yang membawa kematian itu telah digunakan sebagai modal berkempen sehinggakan Trump membuat kenyataan di Twitter bahawa:"Portland tidak akan pulih (daripada kejadian tunjuk perasaan) bersama dengan seorang datuk bandar yang bodoh."

Dia juga menuduh calon presiden AS daripada parti Demokrat, Joe Biden sebagai tidak bersedia untuk memimpin.

Namun, Biden mengutuk keganasan itu dan menyatakan Trump mempunyai peranan dalam menggalakkan keganasan.

Dia tidak keseorangan apabila Datuk Bandar Portland, Ted Wheeler turut membidas Trump dengan berkata:"Tuan Presiden, kenapakah buat pertama kalinya dalam tempoh beberapa dekad, Amerika menyaksikan tahap keganasan seperti ini?

"Ini adalah disebabkan anda yang mencipta kebencian dan perpecahan." - Agensi