PGA tembak selepas dihimpit kenderaan penyeludup ketum

Iklan
Foto dari kiri: Daun ketum seberat 160kg yang bernilai RM74,800 dirampas di Kampung Repek, Pasir Mas. Kanan: PGA Batalion 8 merampas bungkusan daun ketum seberat 500kg yang dianggarkan bernilai RM85,000 di Kampung Padang Layang.

RANTAU PANJANG - Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa terpaksa melepaskan satu das tembakan selepas kenderaan dinaiki mereka dihimpit sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa 500 kilogram (kg) daun ketum dalam kejadian di Jalan Pendek, Kota Bharu semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintenden Muhammad Shamsuddin berkata, sepasukan anggota PGA terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika sedang melakukan rondaan rutin di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang kira-kira jam 6.45 pagi.

Iklan
Iklan

"Anggota PGA terus mengekori kenderaan itu sehingga ke Kampung Pendek, Kota Bharu. Pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju secara berbahaya selepas menyedari anggota PGA mengekori mereka.

"Anggota PGA terus bertindak mengejar pacuan empat roda itu dan pemandunya telah menghimpit kenderaan anggota penguat kuasa.

Iklan

"Satu das tembakan terpaksa dilepaskan pada bahagian tayar belakang kenderaan itu dengan niat untuk memberhentikannya demi keselamatan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu Mitsubishi Triton itu bertindak memberhentikan kenderaan di bahu Jalan Kampung Padang Layang, Kota Bharu.

Iklan

"Semasa proses tangkapan dijalankan telah berlaku pergelutan antara anggota PGA dengan pemandu kenderaan tersebut

"Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui bungkusan daun ketum seberat 500kg yang dianggarkan bernilai RM85,000.

"Barangan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata, pihaknya merampas 160kg daun ketum bernilai RM74,800 dalam serbuan kedua di Kampung Repek, Pasir Mas pada jam 11.30 pagi semalam.

"Rampasan dilakukan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan di sebuah kawasan semak di kampung berkenaan.

"Barangan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya.