Warga KD Lekiu sambut Hari Kebangsaan di perairan negara

Iklan
KD Lekiu mengawal perairan negara dalam Op Benteng di perairan utara Langkawi hari ini. - Foto Bernama

LANGKAWI - Ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-63 hari ini, jauh di perairan utara Langkawi warga Kapal Diraja (KD) Lekiu terus cekal mengawal perairan negara dalam Op Benteng bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mencegah unsur jenayah rentas sempadan sepanjang tempoh penularan pandemik Covid-19.

Pegawai Memerintah KD Lekiu, Kapten Shaiful Nizam Abdul Manan berkata, biarpun terpaksa bertugas, seramai 150 warga KD Lekiu tetap bersemangat melaksanakan amanah yang digalas bagi memastikan kawasan perairan negara khususnya di utara tanah air tidak dibolosi sebarang anasir tidak diingini.

Iklan
Iklan

"Pagi tadi, dalam menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan, semua anak-anak kapal berkumpul di geladak di mana saya sampaikan mandat dan peringatan kepada seluruh warga KD Lekiu.

"Mandat ini adalah daripada pucuk pimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Antara lain, mandat tersebut merupakan kata-kata semangat kepada kami dalam menghadapi apa sahaja rintangan di laut termasuk ketika melaksanakan Op Benteng.

Iklan

"Dunia kami di laut, warga KD Lekiu sentiasa bersiap siaga dalam tempoh yang panjang meninggalkan keluarga bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aman, insya-ALLAH," katanya kepada pengamal media yang berpeluang membuat liputan dan belayar bersama KD Lekiu ketika melakukan rondaan Op Benteng di Sektor 3 Perairan Langkawi (perairan utara Langkawi).

Selain KD Lekiu, dua lagi aset TLDM yang mengawal perairan di sekitar Langkawi ialah KD Gagah Samudera dan KD Laksamana Tan Pusmah.

Pembantu Pegawai Navigasi KD Lekiu, Leftenan Muda Muhammad Haziq Rosli mengukur jarak kapal tersebut dengan KD Gagah Samudera semasa mengawal perairan negara dalam Op Benteng bagi mengekang kemasukan PATI dan mencegah unsur jenayah rentas sempadan dalam tempoh pandemik Covid-19 di perairan utara Langkawi hari ini. - Foto Bernama

Iklan

Turut hadir Panglima Markas Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Maritim Abd Hamid Ali.

Penglibatan KD Lekiu dalam Op Benteng amat signifikan apabila kapal frigat ini bersama beberapa aset lain berjaya memintas sebuah bot yang membawa 200 PATI etnik Rohingya pada April lepas.

Bagi Pegawai Tadbir KD Lekiu, Leftenan Madya Tor Phi Suk, Op Benteng kali ini memberi satu pengalaman baharu buat dirinya yang telah berkhidmat hampir tujuh tahun.

"Sebelum ini, saya pernah menyertai beberapa sesi latihan dan operasi dengan beberapa negara seperti Australia dan England. Op Benteng kali ini agak berbeza kerana kami perlu pastikan setiap operasi dilakukan dengan mengambil kira faktor kebersihan dan kesihatan memandangkan penularan pandemik Covid-19.

"Kejayaan memintas sebuah bot Rohingya pada April lalu juga pengalaman pertama saya dalam operasi yang berjaya mengekang sempadan negara daripada dibolosi anasir yang tidak diingini," katanya.

Juragan KD Lekiu, Bintara Kanan Provos Tentera Laut N Viji Kanna pula berkata, beliau sudah 19 tahun berkhidmat dalam TLDM bagi memenuhi hasrat ayahnya yang juga seorang anggota keselamatan.

"Ayah saya seorang anggota Pasukan Gerakan Am, dia mahu saya menyertai pasukan keselamatan jadi saya pilih TLDM sebagai kerjaya. Saya sudah 19 tahun berkhidmat bersama TLDM dan dua tahun lima bulan bersama KD Lekiu.

"Saya telah menyertai banyak latihan, Op Benteng ini juga memberi satu pengalaman baharu bukan kepada saya sahaja malahan anak-anak kapal lain,” katanya.

Bagi Pegawai Peperangan Anti Kapal Selam KD Lekiu, Leftenan Saiful Hakimin Mohamad, beliau sudah lima kali menyambut Hari Kebangsaan di atas kapal perang dan biarpun tidak dapat merasai sambutan di daratan, semangat juang sentiasa berkobar-kobar.

"Semangat kemerdekaan di atas kapal ini tetap dirasai tambahan pula kami mempunyai kru, jadi laungan Merdeka juga memberi semangat buat kami semua," katanya. - Bernama