INSTITUSI kekeluargaan dalam masyarakat hari ini sedang dilanda pelbagai tekanan, konflik dan ujian getir yang menggugat keharmonian dan keutuhannya. Statistik perceraian yang meningkat, keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan pengabaian warga emas menjadi simptom atau gejala yang jelas menunjukkan berlakunya kerapuhan dalam institusi keluarga yang sepatutnya menjadi batu asas kepada kesejahteraan diri, masyarakat dan juga negara. Keutamaan mesti diberikan kepada usaha serius memperkukuhkan institusi kekeluargaan agar kemelut ini tidak semakin meruncing sehingga melemahkan struktur asas masyarakat.
Kejayaan membentuk sebuah keluarga yang sejahtera bermula dari usaha kolektif setiap ahli di dalam keluarga tersebut. Bermula dengan niat dan matlamat yang jelas tentang mengapa dan kenapa sesebuah perkahwinan itu dibina, pemilihan calon pasangan suami dan isteri yang mempunyai aspirasi yang sama menjadi strategi penting dalam memulakan hidup berkeluarga. Komunikasi yang berkesan antara setiap ahli keluarga menjadi tiang seri yang memastikan setiap hasrat, perasaan, kehendak, keinginan dan harapan mampu dikongsi bersama.
Proses penyelesaian masalah yang dibuat bersama melalui perundingan dan syura meningkatkan daya tahan keluarga untuk berhadapan dengan sebarang konflik dan cabaran. Namun kesedaran bahawa bahtera rumah tangga yang sangat istimewa ini perlu kepada hidayah petunjuk dan bantuan berterusan dari Al-Khaliq yang Maha Pencipta, Allah SWT, menuntut kepada doa pergantungan harapan sebagaimana yang dinukilkan dalam Al Quranul karim, ayat ke 74 Surah Al Furqan yang mafhumnya:Dan orang yang berkata:"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata (penyenang hati) (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.’
Susun atur doa yang begitu halus jalinannya memperjelaskan betapa perlunya kita memohon secara khusus kepada Allah SWT untuk dianugerahkan pasangan hidup dan zuriat keturunan yang mampu menjadi penyejuk mata ( qurratu ain). Namun dalam masa yang sama, kita harus menyorot ke dalam diri, sama ada kita sendiri sudah pun mempunyai ciri-ciri sebagai penyejuk mata kepada pasangan kita dan juga kepada kedua ibu dan bapa kita. Sudah menjadi tabiat manusia yang mudah alpa dan lalai, kita acap kali meminta dan merayu agar dianugerahkan pasangan dan anak-anak yang begitu dan begini sifatnya, sedangkan kita sering pula terlupa mencermin dan memuhasabah diri sendiri.
Sebenarnya, doa yang terkandung di dalam ayat ke 74 Surah Al Furqan itu dilantunkan oleh seorang yang digelar Ibadurrahman. Disebutkan pertama kali pada ayat ke 63 surah yang sama, Ibadurrahman ditakrifkan oleh Prof Dr Hamka dalam tafsir Al- Azhar sebagai individu yang telah menyediakan jiwa dan raganya menjadi hamba Allah yang Maha Penyayang dan bangga dengan perhambaan tersebut.
Bermula dari ayat ke 63 sehingga ayat ke 74 surah Al Furqan tersebut, Allah SWT memperincikan dua belas ciri yang menggambarkan seorang Ibadurrahman. Prof Dr Hamka dalam Tafsir Al Azhar menggariskan kesemua ciri tersebut dengan garapan yang sangat indah sekali:`Mukanya selalu tenang dan sikapnya lemah-lembut. Mudah dalam pergaulan, tidak bosan meladeni orang yang bodoh. Bangun beribadat tengah malam, mendekatkan jiwanya kepada Tuhan. Menjauhi kejahatan kerana insaf akan azab api neraka. Tengah malam dia bangun bermunajat, bertahajjud dan memohon ampun kepada Ilahi, terdengar azan Subuh dia pun segera bersembahyang Subuh, kalau dapat hendaklah berjamaah. Tidak dia mengangkat diri kerana barangkali ‘kelasnya”dalam masyarakat duniawi terpandang tinggi. Dia menyebarkan senyum dan sikap sopan kepada sesame manusia. Selesai sembahyang, dia pun berjalan di atas bumi Allah mencari rezeki yang telah disediakan Tuhan untuk diusahakan. Dan apabila rezeki itu telah diperolehinya, dinafkahkanya dengan baik. Tidak dia boros dan tidak pula dia bakhil serta kikir.Dan bukanlah mereka, lantas kerana sangat tekun sembahyang malamnya, tidak kuat lagi untuk berusaha pada siang harinya. Teguh tauhidnya sehingga tidak ada tempatnya takut dan bertawakkal, kecuali kepada Allah SWT, tidak dia memuja tuhan yang lain, kerana memang tidak ada tuhan yang lain. Hanya Allah. Tidak membunuh bahkan tidak pernah berniat jahat kepada sesame manusia. Suci bersih kelaminnya dari perzinaan, dia tidak naik saksi dusta, tidak suka mencampuri omong kosong dan dia pun tekun mendengar kebenaran. Bukan dirinya dan badannya sendiri sahaja yang difikirkannya, bahkan pasangan dan anak-anaknya pun diberi contoh teladan sebagai Muslim yang baik.’
Di penghujung gambaran tentang sifat Ibadurrahman, Allah SWT menyimpulkan pengharapan tinggi yang dipohon agar pasangan hidup serta zuriat keturunan menjadi penyejuk mata yang sentiasa membahagiakan, bukannya menjadi perosak ketenangan yang mengganggu ketenteraman jiwa dan raga. Tentu sekali, Ibadurrahman mendambakan pasangan hidup dan zuriat keturunan yang turut sama menghayati dan mengamalkan kesemua dua belas ciri yang digariskan.
Pasangan hidup yang turut sama berusaha mendidik dan mendisiplin diri agar berjaya menghiasi perkongsian hidup dengan sifat-sifat mulia tentulah menjadi penyejuk mata dan penenang jiwa. Zuriat keturunan yang menonjolkan ciri-ciri perhambaan yang sejati kepada Allah, mempunyai akhlak yang terpuji dan menghayati nilai murni serta berintegriti, mewarisi budi pekerti yang indah di samping kesungguhan mendidik keluarga mereka sendiri dengan sifat yang sama – pastinya menjadi penyejuk mata yang membanggakan kepada Ibadurrahman. Apabila semuanya berada di atas landasan pedoman yang diredhai Allah SWT, wajarlah keluarga Ibadurrahman ini menjadi pemimpin untuk kaum yang bertaqwa.
Dalam ayat ke 75 dan 76, Surah Al-Furqan, Allah SWT memberi jaminan ganjaran kemuliaan yang hebat: (Mafhumnya) ` Mereka itu akan diberi balasan dengan tempat yang mulia ( syurga) atas kesabaran mereka, dan di sana mereka akan disambut dengan penghormatan dan salam. Mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-sebaik empat menetap dan tempat kediaman.’
Jelaslah, usaha membangun keperibadian Ibadurrahman memerlukan mujahadah dan kesabaran yang tinggi, istiqamah yang berterusan dan keazaman yang mendalam. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan bimbingan-Nya untuk kita semua memulakan perjuangan mencari keredhaan-Nya dengan sama-sama menghayati kehidupan sebagai golongan Ibadurrahman.
*Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengarah Pusat Citra Universiti UKM