JIKA anda merupakan peminat selebriti cantik Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, pasti anda akan berasa teruja apabila melihat gambar-gambar percutian Che Ta bersama suaminya, Zain Saidin dan anak mereka, Aaisyah Dhia Rana.
Jika tidak dimaklumkan, mungkin kita akan ingat lokasi tersebut adalah di luar negara. Tapi disebabkan sekarang musim Covid jadi tak mungkinlah Che Ta akan membawa keluarganya ke luar negara.
Sebenarnya itu adalah gambar-gambar Che Ta ketika bercuti di Melaka.
Ya Melaka, percayalah, itu adalah di Melaka Bandaraya Bersejarah.
Che Ta yang sudah semula jadi cantik, pandai bergaya, ditambah dengan kegigihannya membawa pelbagai baju yang ‘vazz’ membuatkan gambar-gambar Che Ta sekeluarga menjadi sangat wow.
Selain itu, sudah pastinya lokasi pilihan di bandar tersebut sangat cantik untuk mereka yang gemar mengabadikan gambar-gambar menarik atau OOTD untuk dikongsikan di Instagram.
Mungkin ramai antara kita yang majoritinya sudah pernah ke Melaka namun tidak pernah pula melihat lokasi Che Ta bergambar itu. Apakah maknanya?
Maknanya kita belum habis menerokai keseluruhan negeri Melaka. Banyak lagi lokasi-lokasi menarik yang perlu kita singgah.
Itu baru Melaka, belum lagi negeri-negeri lain seperti Perlis, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Johor. Semua negeri itu juga mempunyai banyak lokasi menarik tersendiri.
Pendek kata, jika sehingga hujung tahun ini pun, tak habis tempat-tempat dalam negara tercinta ini yang boleh kita kunjungi.
Jika ingin melakukan aktiviti hiking, banyak bukit atau gunung yang boleh kita daki. Nak ke pulau bermain pasir di pantai, Johor, Sabah dan Terengganu memiliki banyak pulau yang bertaraf dunia.
Jika ingin masuk ke hutan, Sarawak dan Pahang sudah cukup untuk memberikan pengalaman pengembaraan yang mengujakan. Nak kesenian, Pulau Pinang dan Kelantan masih kaya dengan budaya dan hasil seni anak tempatan.
Jadi pendek kata, Malaysia merupakan sebuah negara yang sudah cukup lengkap sebagai destinasi percutian terbaik dunia.
Normal baharu
Walaupun Covid-19 merupakan bencana yang tidak boleh dimaafkan namun sekurang-kurangnya ia telah membuka mata kita terutama ‘golongan kayangan’ yang dahulunya gemar bercuti ke luar negara.
Ketika inilah kita lihat masing-masing mula check-in di hotel-hotel lima bintang dalam negara.
Bagi golongan sederhana pula, tetap ada hotel-hotel tempatan yang menawarkan pakej harga menarik mengikut kemampuan kita. Yang penting, perlu pandai dan rajin mencari hotel-hotel yang bertepatan dengan bajet masing-masing.
Seronok bila lihat semua orang bercuti dalam negara. Jadi tidak hairanlah apabila ada sahaja cuti panjang, Kuala Lumpur boleh dikatakan lengang, lebuh raya dikhabarkan sesak, tempat-tempat makan penuh dengan pelanggan.
Nampaknya sektor percutian dilihat semakin pulih walaupun kita perlu bercuti dalam suasana normal baharu.
Biasalah, nak masuk mana-mana kena ‘tembak’ di dahi dulu, aplikasi MySejahtera dah jadi kawan baik dan jangan lupa pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam.
Nak bercuti boleh tapi jangan lupa keselamatan semua. #kitajagakita
* Meen Tahrin ialah Editor Lifestyle Sinar Harian