ZAKAT merupakan fardu ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib dan seseorang Muslim yang mengingkari kefarduan zakat boleh mengakibatkan murtad.
Dengan berzakat, jurang antara golongan kaya serta miskin dapat dikurangkan menerusi matlamat mengeluarkan golongan asnaf daripada kepompong kemiskinan.
Baru-baru ini, kerajaan juga mengambil langkah berani dengan menyemak semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 sebulan.
Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada tahun 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada paras RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.
Semakan PGK itu menjadikan jumlah orang miskin di negara ini juga semakin meningkat selaras dengan PGK baharu.
Ekoran itu, pusat-pusat zakat di seluruh negara juga perlu bekerja lebih keras untuk memastikan umat Islam yang kini tergolong sebagai miskin mendapat bantuan.
Bagaimanapun, kedengaran suara-suara sumbang yang mendakwa pusat-pusat zakat lebih banyak memberikan tumpuan untuk meningkatkan sasaran kutipan daripada mengeluarkan peruntukan untuk membantu golongan fakir miskin.
Mungkin suara-suara sumbang itu sekadar persepsi sahaja kerana terdapat banyak laporan dalam media mengenai bantuan yang diberikan oleh pusat zakat kepada golongan yang memerlukan.
Bagaimanapun, kita tidak boleh membenarkan persepsi negatif itu terus berleluasa kerana pusat-pusat zakat merupakan sebahagian institusi agama yang perlu dipertahankan.
Sebagai contoh, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dilihat aktif melaporkan segala kegiatan menerusi media-media sosial.
Usaha yang mereka lakukan sangat dipuji dan mampu untuk menepis tanggapan negatif pihak tertentu terhadap isu pengagihan zakat.
Buat pembaca Sinar Harian, teruskanlah melakukan kebaikan dengan bersedekah dan menunaikan tanggungjawab untuk berzakat.
Dengan melakukan hal sedemikian, maka harta yang ada pada kita akan sentiasa diberkati dan bersih untuk digunakan bagi diri kita dan keluarga.