Peniaga didenda RM2,000 miliki karkas lembu tidak sah

Iklan
OKS ketika keluar dari Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

SELAYANG - Seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 361 kilogram (kg) karkas lembu (bahagian badan lembu) yang tidak diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Oktober tahun lalu.

Azzamuddin Ishak, 46, selaku orang kena saman (OKS) dituduh melakukan perbuatan itu pada 13 Oktober tahun lalu pada jam 5.30 pagi di sebuah bangsal penyembelihan yang tidak diluluskan atau rumah penyembelihan di Rawang yang dilesenkan.

Iklan
Iklan

Tertuduh didakwa telah melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1952 (Semakan 2006) dan dengan ini telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Kaedah 2 (a), (b), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) (Pindaan) 2018.

Jika sabit kesalahan OKS boleh denda tidak melebihi RM10,000.

Iklan

Terdahulu Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohammad Firdaus Mat Ludin memohon hukuman berat terhadap OKS supaya orang ramai tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Bagaimanapun, Azzamuddin yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah meringankan hukuman atas alasan baru memulakan perniagaan dan meminta denda minimum.

Iklan

Majistret Mohd Nik Mohd Fadli Nik Azlan kemudian menetapkan denda RM2,000 kepada tertuduh dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan boleh dipenjara selama sebulan.

Mengikut fakta kes pada 13 Oktober tahun lalu, sepasukan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar membuat serbuan di bangsal milik OKS yang memiliki karkas yang tiada pengesahan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan disyaki tidak disembelih di rumah bangsal yang diluluskan atau dilesenkan oleh jabatan.

Dalam serbuan itu, OKS didapati memiliki karkas lembu seberat 361 kilogram, tujuh bilah pisau, dua bilah parang, dua bilah pengasah, satu unit alat timbang, dua cop (tag seal) karkas di sebuah rumah sembelihan di Rawang.