Trump pertahan remaja tembak tiga individu di Kenosha

Iklan
Donald Trump

BOGOTA - Presiden Donald Trump pada Isnin membela suspek lelaki bersenjata berusia 17 tahun, Kyle Rittenhouse yang didakwa menembak tiga penunjuk perasaan di Kenosha, Wisconsin minggu lalu.

Trump ketika ditanya dalam sidang media di Rumah Putih adakah beliau mempertahankan Rittenhouse kerana mengambil tindakan sendiri, katanya remaja itu telah diserang dengan ganas dan dia bertindak mempertahankan diri, lapor agensi berita Anadolu.

Iklan
Iklan

"Ia adalah situasi yang menarik. Anda melihat rakaman kejadian sama seperti yang saya lihat dan dia cuba menjauhkan diri daripada mereka. Saya rasa, ia kelihatan seperti dia jatuh dan kemudian mereka menyerang dengan ganas dan itu yang kita lihat sekarang dan ia masih dalam siasatan.

"Saya rasa dia berada dalam masalah yang sangat besar. Dia mungkin akan terbunuh,” kata Trump

Iklan

Rittenhouse, yang dilaporkan menyokong gerakan propolis Blue Lives Matter, berdepan dua pertuduhan membunuh dan satu cubaan membunuh susulan kejadian yang berlaku pada 25 Ogos lalu, menyebabkan dua penunjuk perasaan maut.

Kejadian tembakan itu berlaku di bandar yang telah berhari-hari dicengkam protes terhadap ketidakadilan kaum dan keganasan polis setelah Jacob Blake, seorang lelaki kulit hitam, ditembak tujuh kali oleh seorang pegawai polis berkulit putih.

Iklan

Peguam bela Rittenhouse menyatakan remaja itu bertindak membela diri, tetapi aduan yang diajukan oleh pendakwa raya Kenosha County menyatakan dia melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang tidak bersenjata.

Penangkapannya dibuat setelah seorang individu memuat naik rakaman kejadian itu di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan tiga tembakan kedengaran dengan remaja berkulit putih sambil memegang selaras senapang melarikan diri dari tempat kejadian sambil berkata di telefon bimbitnya,"Saya baru saja membunuh seseorang."

Individu yang memakai seluar biru dan kemeja hijau yang sama dilihat dalam rakaman video pemerhati yang lain menunjukkan dia sedang dikejar oleh penunjuk perasaan sebelum tersadung dan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan ketika mereka berusaha merampas senjatanya.

Rittenhouse ditangkap keesokannya di kejiranan Illinois.

Sidang akhbar presiden itu diadakan hanya beberapa jam selepas calon presiden Demokrat Joe Biden menuduh Trump mencetuskan keganasan pada tunjuk perasaan baru-baru ini.

Tidak lama selepas presiden mengakhiri ucapannya, Biden mengecam Trump kerana menolak"untuk menegur kekerasan."

"Beliau bahkan tidak akan menafikan salah seorang penyokongnya yang didakwa melakukan pembunuhan. Beliau terlalu lemah, terlalu takut untuk menghentikan kebencian yang telah dicetuskannya," ciap Biden di Twitter.

"Saya mendesak Presiden Trump agar bergabung dengan saya untuk menyatakan bahawa protes damai adalah hak yang penting - keganasan adalah salah. Tamat. Sekiranya beliau tidak dapat mengatakannya, maka beliau tidak layak menjadi Presiden."

Semasa taklimat media, Trump mengumumkan beliau tidak merancang untuk membatalkan lawatannya ke Kenosha pada Selasa, tidak mempedulikan Gabenor Wisconsin, Tony Evers, yang dalam suratnya pada Ahad mendesak Trump supaya membatalkan lawatan itu, menyatakan kehadiran presiden"hanya akan melambatkan usaha kami untuk menghalang perpecahan dan maju bersama."

Trump juga berkata, beliau tidak akan bertemu keluarga Blake semasa lawatannya ke Wisconsin kerana 'tidak wajar' untuk bercakap dengan peguam keluarga itu.

"Saya fikir lebih baik tidak melakukan apa-apa jika ada peguam yang terlibat.

"Mereka mahu saya bercakap, tetapi mereka mahu melibatkan peguam, dan saya fikir itu tidak sesuai, jadi saya tidak melakukannya,"" katanya.

Trump dijadualkan bertemu dengan penguatkuasa undang-undang dan pemilik perniagaan di Kenosha. - Bernama