KUANTAN - Seorang peniaga direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes langgar lari membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Camry dan sebuah motosikal di Kilometer 56.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala Karak, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohd Daud berkata, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Bentong selama empat hari bermula 1 hingga 4 September 2020.
"Pihak polis juga telah menjalankan ujian urin ke atas pemandu dan keputusan didapati negatif," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Semalam video kemalangan itu tular di media sosial sebelum suspek berusia 37 tahun ditahan di Balai Gombak kira-kira jam 7 petang.
Kamarulzaman berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika kenderaan dipandu kedua-dua pihak datang dari arah Pahang menghala ke Kuala Lumpur.
"Sampai di tempat kejadian dipercayai suspek yang memandu di lorong kiri telah mengubah haluan ke lorong kecemasan untuk memotong kenderaan hadapan manakala motosikal yang ditunggang seorang lelaki dan seorang wanita juga dari lorong kecemasan telah mengelak lalu terbabas ke kiri serta jatuh ke tebing kiri jalan.
"Susulan kemalangan tersebut suspek tidak memberhentikan kenderaan dan lari dari tempat kejadian. Mangsa terlibat telah dihantar ke Hospital Bentong dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Camry putih sudah ditahan