NIBONG TEBAL - Seorang suspek kes culik warga Myanmar maut ditembak selepas menyerang sepasukan polis yang sedang membuat pemeriksaan di sebuah rumah usang tidak berpenghuni di Jalan Paya Keladi Hujung, Kepala Batas, jam 1 pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, suspek yang juga warga Myanmar berusia 25 tahun maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Menurutnya, suspek bertindak agresif dengan menyerang empat anggota polis yang sedang membuat pemeriksaan di rumah yang terletak dalam ladang kelapa sawit itu dengan menggunakan sebilah parang.
"Lelaki berkenaan merupakan dua daripada suspek kes culik itu.
"Kejadian berlaku ketika anggota polis sedang membuat pemeriksaan di dalam rumah usang tersebut. Rumah tersebut dalam keadaan gelap dan hanya disinari nyalaan lilin sahaja. Ketika salah seorang anggota masuk ke rumah terbabit, suspek terus menyerangnya menggunakan sebilah parang.
"Untuk mempertahankan diri, tiga anggota polis yang lain melepaskan empat das tembakan dan terkena di kepala suspek. Suspek disahkan maut di tempat kejadian manakala anggota polis lebam di bahu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) tadi.
Sahabudin berkata, berdasarkan dari keterangan yang diperoleh dari mangsa dan beberapa maklumat lain, lelaki berkenaan merupakan dalang dalam kes culik itu.
"Pemeriksaan pada badan suspek menjumpai satu kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) tetapi kabur dipercayai palsu dan kumpulannya turut terlibat dalam kes penculikan lain.
"Kita masih memburu seorang lagi suspek warga Myanmar yang sudah dikenal pasti dan dipercayai masih berada di negara ini," katanya.
Dalam kejadian 17 Ogos lalu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki Myanmar berusia 37 tahun di Kuala Lumpur selepas dihubungi isteri rakannya dari Myanmar yang mendakwa suaminya diculik.
Sahabudin berkata, isteri mangsa diugut suspek untuk membayar wang tebusan RM15,000 jika tidak mahu suaminya dibunuh.
"Isteri mangsa yang ketakutan telah membayar wang tebusan RM15,000 melalui transaksi bank. Siasatan mendapati, mangsa yang bekerja sebagai penjaga kolam ikan di Nibong Tebal telah diculik pada jam 12 tengah malam,14 Ogos lalu.
"Hasil siasatan, kita berjaya menahan 11 individu iaitu lima lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan lima lelaki warga asing pada 19 Ogos lalu. Kesemua mereka berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang dikurung dalam sebuah rumah kongsi dalam ladang getah di Bukit Lembu, Sungai Lalang di Sungai Petani itu berjaya diselamatkan.
"Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suspek.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 kerana menculik," katanya.