Anak gajah mati dilanggar kereta

Iklan
Anak gajah yang ditemui mati selepas dilanggar sebuah kereta di Batu 10 Jalan Kota Tinggi- Mersing hari ini.

KOTA TINGGI - Seekor anak gajah berusia setahun hingga dua tahun ditemui mati dipercayai dilanggar kereta di Batu 10, Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian kemalangan membabitkan anak gajah seberat 300 kilogram (kg) itu pada jam 7.45 pagi.

Iklan
Iklan

"Satu pasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian. Hasil siasatan lanjut di lokasi mendapati terdapat bangkai seekor anak gajah jantan telah ditemui di tepi jalan.

"Siasatan mendapati, dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi, sebuah kenderaan jenis Proton Persona yang dipandu oleh seorang lelaki dari arah Kota Tinggi ke Mersing telah melanggar gajah tersebut.

Iklan

"Pemantauan di tempat kejadian juga mendapati terdapat dua, tiga ekor gajah daripada kumpulan gajah Panti masih berada di sekitar kawasan tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salman berkata, bangkai gajah tersebut akan ditanam selepas ukuran morfologinya direkodkan.

Iklan

Beliau juga memaklumkan bahawa kawasan kejadian adalah lokasi hotspot lintasan gajah iaitu di Batu 4 hingga Batu 14, Jalan Kota Tinggi-Mersing.

"Sebelum ini pernah berlaku kejadian seekor gajah mati dilanggar pada 6 Oktober 2019 di Batu 13 dan seekor lagi pada 21 Mei 2018 di Batu 14," katanya lagi.

Terdahulu tular sebuah video yang menunjukkan ibu gajah cuba mengejutkan anaknya yang sudah mati akibat kemalangan itu.

Video berdurasi 39 saat itu menyentuh hati netizen sehingga ada yang meminta agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan gajah di kawasan hutan di sepanjang laluan Kota Tinggi- Mersing.