Presiden UMNO berfungsi dalam keadaan paling sukar, kata Annuar

Iklan
Annuar Musa

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini berfungsi dalam keadaan paling sukar dalam tempoh 27 bulan pelantikannya bagi jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Annuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, sejak tempoh itu, Biro Politik dan MKT UMNO juga terpaksa membuat pelbagai keputusan amat sukar, namun bersyukur ia membawa di mana UMNO berada sekarang.

Iklan
Iklan

Beliau turut mendakwa Ahmad Zahid 'ditekan, dihina, didakwa, diperlekeh, ditikam hadapan dan belakang, kawan dan lawan', namun memuji sifat kecekalan dan istiqamah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam menegakkan obor perjuangan parti.

"Namun, bersamanya tetap ada teman yang setia serta ahli parti yang sentiasa reda. Insya-ALLAH," katanya melalui ciapan di akaun Twitter beliau hari ini.

Iklan

Annuar berkata, antara keputusan sukar dibuat Ahmad Zahid, UMNO dan BN adalah penggunaan logo 'dacing' bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan PRU15, BN tiada halangan jika rakan pakatan politik mahu menggunakan logo baharu Perikatan Nasional (PN), penyertaan UMNO dalam kerajaan PN dan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, beliau turut menegaskan keputusan sukar lain seperti UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bermuafakat dan berunding kerusi, menggubal manifesto bersama, pertembungan satu lawan satu dengan pembangkang, mewujudkan jawatankuasa terdiri lima orang untuk rundngan pembahagian kerusi, penerimaan Bersatu menyertai Muafakat Nasional dan terakhir UMNO tidak menyertai jawatankuasa penaja pendaftaran PN.

Iklan

"Sebagai SUA (Setiausaha Agung BN), tugas saya adalah berdasarkan apa diputuskan dalam mesyuarat... bercakap dalam mesyuarat lain, di luar lain bukan amalan saya. I call a spade a spade.

"Sama ada apa yang saya komen itu popular atau tidak, itu perkara kedua. Sering saya disuruh atau diarah membuat statement (kenyataan). Saya laksanakan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid berdepan pelbagai tekanan dan kritikan daripada segelintir pemimpin akar umbi UMNO dan BN susulan keputusan kontroversi parti menerima Bersatu dalam Muafakat Nasional, penarikan diri dalam pendaftaran PN dan keputusan pelantikan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengarah Jentera PRN Sabah.