KUALA LUMPUR - Kerajaan ketika ini menumpukan kepada rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebelum meneliti perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memberi tumpuan utama kepada RCEP sejak beberapa bulan lepas, sambil menambah ia telahpun berada di peringkat akhir rundingan.
"Bagi RCEP, kita masih sedang memuktamadkan beberapa butiran terperinci, tetapi kita optimis yang kita boleh dapat memeterai perjanjian itu dan memuktamadkan rundingan menjelang November tahun ini.
"Langkah seterusnya adalah melihat kepada FTA lain termasuk CPTPP. Saya ada menyebut di Parlimen semasa kerajaan terdahulu, pada September 2018, kerajaan pada masa itu telah memutuskan untuk meratifikasikan CPTPP tanpa sebarang tempoh masa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan khas pada acara Invest Malaysia 2020 Siri Maya 3, di sini, hari ini.
Azmin berkata ketika ini MITI sedang mengadakan sesi libat urus dengan semua pemegang kepentingan kerana terdapat beberapa isu yang perlu ditangani bagi melindungi kepentingan pemain dan industri tempatan sebelum kerajaan memutuskan untuk meratifikasikan proses tersebut.
"Kita memutuskan untuk meneruskan proses sebelum kerajaan membuat keputusan sama ada untuk meratifikasikannya dalam tempoh terdekat ini tetapi tertakluk kepada perundingan dengan pemegang kepentingan.
"KIta bukan meragui CPTPP, FTA bukan suatu yang baharu bagi kita, kita telah memeterai kira-kira 14 FTA setakat ini, tetapi pada masa yang sama kita perlu memahami dan menghargai keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh industri tempatan dan domestik,” katanya.
Ketika ini, katanya, kementeriannya sedang berbincang dengan pemegang kepentingan bagi memahami keperluan mereka sebelum kerajaan merumuskan CPTPP.
"Kita juga membincangkan FTA ini dengan Kanada, yang juga mengadakan perbincangan semasa mesyuarat ASEAN, dan kita juga masih sedang berbincang dengan India bagi mengalu-alukan India kembali semula dan menyertai RCEP," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, dengan penyambungan semula beransur-ansur aktiviti ekonomi, angka prestasi ekonomi pada Jun 2020 telah mula menunjukkan petanda negara berada di landasan pemulihan secara perlahan-lahan.
Azmin berkata, jumlah perdagangan Malaysia pada Jun 2020 sebenarnya mengembang sebanyak 2.2 peratus kepada RM144.78 bilion manakala eksport melantun semula dengan peningkatan 8.8 peratus kepada RM82.82 bilion.
"Sektor pembuatan pulih semula dengan pertumbuhan dua angka dan eksport barangan pembuatan yang membentuk 87.5 peratus daripada jumlah eksport, meningkat sebanyak 13.7 peratus tahun ke tahun kepada RM72.48 bilion.
"Sekarang apa yang lebih meyakinkan adalah angka yang kita baru peroleh pada Jumaat lepas bagi Julai, menunjukkan eksport Malaysia meningkat bagi bulan kedua berturut-turut,” katanya.
Selain itu, kata Azmin, Malaysia merekodkan pengembangan 3.1 peratus daripada tahun sebelumnya bagi eksport barangan kilang dan komoditi pertanian, terutamanya minyak sawit.
"Lebihan perdagangan kita meningkat ke paras tertinggi sebanyak RM25.15 bilion pada bulan lepas mengatasi rekod sebelumnya sebanyak RM20.9 bilion pada Jun,” katanya.
Sementara itu, dari segi pelaburan, setakat Jun 2020, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meneliti sejumlah 725 projek dengan nilai RM36.7 bilion dan memantau 141 petunjuk profil tinggi dengan potensi pelaburan RM72.6 bilion.
MIDA juga membantu 86 syarikat dari pelbagai negara termasuk China dan memuktamadkan perjanjian bagi 32 projek dengan pelaburan bernilai RM17.5 bilion untuk memindahkan dan menempatkan semula aktiviti ke Malaysia. - Bernama