BAGAN SERAI - Kehilangan beberapa helai Jalur Gemilang yang dipasang di sekitar Matang Buluh di sini menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat.
Seorang penduduk, Wat Kamal Abas, 47, berkata, sebanyak 10 Jalur Gemilang dipasang di atas Jambatan Matang Buluh dan tiga bendera di kawasan pintu masuk Parit Jay pada 29 Ogos yang lalu sebagai menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, katanya, beberapa bendera tersebut termasuk satu di pintu masuk Parit Jay dikesan hilang semalam dipercayai diambil individu tidak bertanggungjawab.
"Bendera itu adalah kepunyaan penduduk Parit Jay dan Parit Haji Ismail 3 yang disumbangkan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazli dan dipasang Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) dan saya sendiri.
"Saya kesal kerana bendera itu dipasang untuk meraikan Hari Kebangsaan sehinggalah Hari Malaysia nanti dan saya harap individu yang mengambil bendera tersebut memulangkannya semula ke tempat asal," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu seharusnya tidak berlaku kerana tindakan mencuri adalah satu kesalahan jenayah walaupun ia sekadar bendera.
Bagaimanapun, katanya, kehilangan Jalur Gemilang itu tidak melunturkan semangat penduduk untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.