SHAH ALAM - Sudah tiba masanya rakyat Malaysia membuang persepsi negatif terhadap produk tempatan yang sering dilabel tidak setanding dengan barang import.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, ini terbukti apabila nilai jualan produk buatan Malaysia dalam talian di platform Shopee mencatatkan kira-kira RM11.98 juta dalam tempoh dua bulan iaitu Julai dan Ogos lalu.
Dalam tempoh berkenaan, katanya, lebih kurang 26,000 produk terjual melibatkan 5,177 peniaga tempatan.
"Walaupun secara dalam talian tetapi pengusaha tempatan boleh menjual produk mereka. Ini menunjukkan produk tempatan kini semakin mendapat tempat di hati pengguna kerana ia setanding dengan produk luar negara, malah ada yang lebih baik sebenarnya," katanya ketika siaran langsung Sinar Live bertajuk 'Banggakah Kita Dengan Produk Tempatan?' yang dikendalikan moderator, Haslina Kamaludin di Studio F Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.
Rosol berkata, salah faham terhadap kualiti produk Malaysia perlu diperbetulkan dengan menyahut saranan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
"Ramai yang tidak sedar bahawa Malaysia turut mempunyai produk tempatan yang ramai sangka berasal dari luar. Mungkin kerana nama jenama yang digunakan langsung tidak membawa imej tempatan, ramai menganggap jenama-jenama ini produk luar negara.
"Contohnya produk kerusi urut Ogawa yang pada mulanya dianggap produk buatan Jepun, sebenarnya adalah buatan tempatan. Mereka (pengguna) pilih sesuatu barangan bukan sebab barangan import tetapi lebih kepada nama produk yang lebih komersial," katanya.
Justeru, katanya, kerajaan optimis KBBM berupaya mengukuhkan semula ekonomi domestik dan pembangunan industri tempatan.
Beliau berkata, ia adalah kempen jualan mega produk tempatan sebagai pilihan kepada masyarakat untuk berbelanja dengan tawaran harga berpatutan.
"Kempen ini juga bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat bagi membantu pengusaha tempatan dengan membeli pelbagai bentuk barangan, produk dan perkhidmatan buatan tempatan.
"Di samping itu, kempen ini membantu pengeluar untuk memasar dan mempromosi produk buatan tempatan serta perkhidmatan masing-masing," katanya.
Rosol turut menjelaskan bahawa kempen berkenaan diadakan secara bersepadu dengan kerjasama daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
Menurutnya, kempen itu turut menghimpunkan pelbagai sektor di negara ini terutama yang dikawal selia KPDNHEP seperti sektor perdagangan dan peruncitan serta perdagangan dalam negeri.
"Antara segmen produk dan perkhidmatan buatan tempatan yang diberikan penekanan di sektor peruncitan adalah fesyen dan pakaian, gajet serta kesihatan dan kecantikan serta lain-lain lagi," katanya.
Tambah beliau lagi, bagi mempromosi kempen berkenaan di peringkat industri, kementerian turut mengadakan sesi perbincangan dan libat urus bersama pemain industri peruncitan, pemilik kompleks beli-belah dan persatuan perniagaan di negara ini.
"Setakat ini penerimaan mereka adalah baik dan menyatakan kesediaan membantu inisiatif kempen ini di premis perniagaan masing-masing.
Dalam pada itu, Rosol berkata, KPDNHEP turut menganjurkan Kempen Jualan Malaysia (KJM) 2020 bagi memberi peluang kepada pengguna membuat perancangan pembelian, sekali gus mampu meningkatkan jualan segmen peruncitan yang terjejas pandemik Covid-19.
"Ia merupakan program jualan peringkat kebangsaan yang memfokuskan jualan mengikut tema dan segmen produk yang berbeza pada setiap bulan yang dijual pada harga diskaun sehingga 70 peratus bermula pada bulan Julai sehingga Disember 2020.
"Namun kita amat berharap agar pengguna lebih bijak dan berhemah ketika berbelanja," katanya.