Raja Wakanda pun tak berdaya melawan kanser

Iklan
Boseman meninggal dunia di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu setelah empat tahun bertarung melawan penyakit kanser usus.

PELAKON watak adiwira Black Panther, Chadwick Boseman meninggal dunia di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu setelah empat tahun bertarung melawan penyakit kanser usus.

Yang buatkan Merak Jalanan tersentak adalah kerana pelakon kulit hitam itu masih dikira muda, baru 43 tahun.

Iklan
Iklan

Siapa sangka, semasa Black Panther menjadi filem pecah panggung pada tahun 2018 rupa-rupanya sel-sel kanser sudah mula memamah tubuh Boseman, sedikit demi sedikit.

Kalau Merak Jalanan tak silap, dulu-dulu kanser lebih banyak menyerang warga emas berumur 60 hingga 70 tahun. Sekarang tidak lagi.

Iklan

Di Malaysia, kanser usus adalah kanser utama dalam kalangan lelaki dan kedua dalam kalangan wanita selepas kanser payudara.

Menurut Public Health Malaysia, sekiranya anda mempunyai gejala berpanjangan seperti kerap rasa ingin ke tandas, najis berdarah, perut rasa tidak selesa atau ada ketulan di perut, jangan buat tak tahu saja. Sebaliknya berjumpalah doktor untuk pemeriksaan.

Iklan

Dilahirkan di Carolina Selatan, Boseman adalah lulusan Universiti Howard di Washington DC.

Beliau memegang watak T’Challa yang juga Black Panther iaitu Raja Wakanda, sebuah negeri fiksyen di Afrika yang memiliki teknologi tercanggih di dunia.

Filem adaptasi daripada siri komik Marvel itu berkisar tentang seorang raja yang memerintah dan melindungi negara daripada kuasa asing.

Selain meraih kutipan tiket lebih AS$1.3 bilion, filem itu juga dilihat sebagai tonggak budaya kerana didominasi pelakon kulit hitam dan sutradara kulit hitam, Ryan Coogler.

Ramai netizen memberikan ucapan ‘Wakanda Forever’ bagi menggambarkan semangat Boseman dalam menentang penyakit.

Bagaimanapun, sekali lagi jangan ambil mudah soal kanser. Ia pembunuh yang selalunya hanya disedari apabila semuanya sudah terlambat.