[LAPORAN KHAS] KLANG - Penduduk di Bandar Sultan Sulaiman di sini melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anak gadis mereka apabila ada segelintir warga asing didakwa miang dan bermata keranjang.
Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Amy, 26, berkata, kebimbangannya terhadap isu keselamatan keluarga semakin kuat memandangkan jumlah warga asing di Bandar Sultan Sulaiman semakin bertambah sejak lima tahun lalu.
"Paling menyakitkan hati terdapat segelintir warga asing yang suka mengusik dan merenung wanita tempatan hingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan gadis.
"Warga asing ini merenung gadis tempatan seperti hendak ‘telan’ mereka. Kakak saya sendiri pernah mengadu dia selalu berdepan situasi sedemikian sewaktu pergi ke kedai,” katanya.
Menurut Amy, sebagai anak kelahiran kawasan itu, dia menyaksikan perubahan di tempat berkenaan yang kini dibanjiri warga asing sedangkan dahulunya ia didiami oleh penduduk yang datang dari Kedah, Sabah dan Kelantan.
"Saya dilahirkan dan dibesarkan di sini. Dulu warga asing tidak ramai, tetapi sejak banyak kilang baharu dibina jumlah mereka bertambah.
"Peningkatan jumlah mereka membuatkan penduduk rasa tidak selesa terutama terhadap risiko keselamatan,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan itu mendapati selain warga Bangladesh, penempatan tersebut dipenuhi oleh rakyat Myanmar, Vietnam dan Indonesia.
Terdapat dalam kalangan mereka yang menjalankan perniagaan sendiri seperti menjual sayur, daging dan ayam secara terbuka termasuk membuka kedai runcit di sekitar kawasan perumahan itu.
Seorang lagi penduduk, Shamsul Kamal, 42, berkata, ada juga warga asing yang bernikah dengan warga tempatan bagi membolehkan mereka berniaga tanpa diganggu pihak berkuasa.