[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Biarpun kes seperti pecah rumah, samun dan ragut adalah antara jenayah yang sering dikaitkan dengan warga asing namun penglibatan mereka masih terkawal.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, jenayah yang dilakukan warga asing sememangnya menimbulkan kebimbangan masyarakat walaupun pada hakikatnya lebih banyak jenayah dilakukan oleh penduduk tempatan.
"Ini memandangkan kebanyakan jenayah dilakukan adalah jenayah harta benda yang dikira ‘dekat’ dengan zon selesa orang ramai. Antara jenayah tersebut ialah pecah rumah, samun dan dalam keadaan tertentu ragut.
"Bagaimanapun, langkah mitigasi melalui polisi dan juga tindakan pihak berkuasa seperti sekatan pintu masuk, dasar imigrasi, risikan dan penguatkuasaan ternyata berjaya mengekang jenayah ini daripada berleluasa. Secara jujur, ia dalam keadaan terkawal,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, isu perkampungan pendatang asing tanpa izin (PATI) harus dilihat dengan lebih terperinci.
"Jika orang ramai mudah mempercayai berlaku rasuah dalam kalangan pihak berwajib yang menyukarkan isu terbabit ditangani, mereka juga perlu mempercayai bahawa ia turut berlaku dalam kalangan rakyat.
"Sementara di satu pihak kita lebih fokus kepada ‘kelemahan penguat kuasa’, kita juga harus melihat siapa dalam kalangan masyarakat yang mendapat keuntungan daripada pembolosan ini," katanya.
Katanya, penyedia logistik seperti pengangkutan, rumah sewa dan penempatan transit perlu diberi perhatian bagi tujuan penguatkuasaan.
"Tanpa mereka, adalah munasabah untuk mempercayai bahawa saluran membawa masuk PATI akan gagal,” katanya.
Katanya, jika isu perkampungan warga asing tidak terkawal, ia bakal memberi implikasi dan kesan dari segi sosial, ekonomi dan geopolitik. Jika tiada bentuk kawalan dan penguatkuasaan dilakukan terhadap koloni kecil akhirnya ia akan menjadi sebuah perkampungan.
"Oleh itu hal remeh perlu diatasi terlebih dahulu untuk kita mengawal dan mengekang isu ini,” katanya.