Imam pukul isteri ditahan polis

Iklan

NILAI - Polis telah memberkas seorang pesara polis yang juga merupakan seorang imam bagi membantu siasatan kes memukul isteri di Kampung Bukit Kadir di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek berusia 61 tahun itu menyerah diri pada hari yang sama kejadian di Balai Polis Nilai untuk memberi keterangan.

Iklan
Iklan

Katanya, hasil soal siasat yang dilakukan, suspek dikatakan telah berselisih faham dengan isterinya yang memajak pokok rambutan mereka kepada orang kampung tanpa pengetahuannya.

"Berang dengan tindakan tersebut suspek menumbuk isterinya di bahagian muka, menarik rambut dan menendang isterinya.

Iklan

"Suspek kemudian masuk ke rumah, mengambil parang dan memecahkan cermin tingkap bahagian depan rumah, suspek sekali lagi cuma menyerang isterinya tetapi sempat dihalang oleh anak lelaki mereka.

"Maklumat daripada isteri suspek mendakwa, suspek mempunyai pistol dan melepaskan tembakan ke udara, tetapi perkara itu masih belum dapat disahkan kerana siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kelongsong peluru, malah tiada rampasan senjata dilakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Tambahnya, suspek juga menafikan mengenai senjata tersebut dan tiada sebarang tembakan dilepaskan, hanya mengaku memukul isterinya serta melibaskan parang ke arah tingkap.

Polis kemudiannya merampas seluar dan baju yang dipakai suspek pada hari kejadian, namun tiada sebarang senjata yang ditemui.

Suspek kini ditahan reman sehingga 31 Januari dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.