KPDNHEP bantu produk tempatan tembusi pasar raya besar

Iklan
Rosol. - FOTO MOHD IZARI ROSLI

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mengkaji mekanisme bagi membantu lebih ramai pengusaha tempatan memasarkan produk mereka di pasar raya besar di negara ini setanding dengan produk luar negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau mengakui terdapat dalam kalangan pengusaha produk tempatan terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan untuk menembusi pasaran lebih meluas terutama di pasar raya yang lebih besar.

Iklan
Iklan

"Mereka terpaksa bersaing dengan syarikat besar terutama dari luar negara untuk meletakkan produk mereka di rak pameran utama.

"Jadi kita sedang memikirkan cara bagaimana untuk membantu pengusaha-pengusaha ini sama ada dalam aspek bantuan subsidi atau sebagainya bagi memastikan produk mereka berada pada tahap yang sama sebagaimana dimiliki produk dari luar negara,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, Rosol menegaskan, pengusaha produk tempatan perlu memastikan mutu produk keluaran mereka sentiasa dijaga atau dipertingkatkan dari masa ke masa.

Katanya, ia satu kerugian sekiranya produk yang diletakkan di rak pameran utama kurang berkualiti.

Iklan

"Justeru, kita berharap pengusaha-pengusaha produk tempatan ini dapat menjaga packaging (pembungkusan) dan labeling (label) produk mereka kerana ia turut memainkan peranan penting untuk menarik minat pembeli.

"Selain itu, kita juga mengharapkan usaha ini akan memberikan situasi menang-menang sama ada kepada KPDNHEP mahupun dalam kalangan penguasa produk tempatan, sekali gus membuktikan bahawa produk mereka diakui setanding dengan produk luar negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rosol turut melahirkan keyakinan bahawa produk keluaran pengusaha tempatan mampu bersaing dengan jenama luar negara kerana ada dalam kalangan mereka telah terbukti memiliki produk yang jauh lebih baik sama ada dari aspek pembungkusan mahupun kualiti produk itu sendiri.

Menurutnya, KPDNHEP turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada pengusaha produk tempatan dalam mengembangkan pasaran mereka antaranya program transformasi produk.

"Melalui program ini, pengusaha akan dibimbing untuk mengeluarkan produk bermutu tinggi dan menepati piawaian, sekali gus membuka potensi lebih luas untuk produk mereka dipasarkan di pasar raya asing.

"Apabila mereka sudah ikuti program ini, kita akan bantu dan beri panduan dalam segi pembungkusan dan sebagainya. Mereka tidak perlu membayar listing fee (yuran penyenaraian) untuk produk mereka dipasarkan di pasar raya asing kerana ia akan ditanggung oleh KPDNHEP.

"Jadi kita menyeru agar lebih ramai pengusaha produk tempatan di negara ini merebut peluang menerusi program transformasi produk bagi membolehkan produk mereka menembusi pasaran pasar raya asing dan berdiri setanding dengan produk luar negara,” katanya.