"KLAUSA 8.7 adalah standard biasa yang termaktub dalam kontrak antara pemain bola sepak dengan majikan yang secara tidak langsung memberi kelebihan sekiranya diaktifkan oleh pemain.”
Itu pandangan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah yang mengakui Klausa 8.7 memberikan kelebihan kepada pemain menamatkan kontrak dengan majikannya selepas tidak menerima gaji lebih daripada sebulan.
Iklan
Iklan
Namun, di sebalik kelebihan tersebut, Effendi Jagan menasihati mana-mana pemain Liga Malaysia (Liga-M) untuk menggunakan pendekatan lebih berhemah sesuai dengan budaya Timur dalam menyelesaikan sebarang isu dengan majikan masing-masing.
"Secara peribadi pada saya perbincangan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul antara pemain dengan majikan masing-masing daripada dibiarkan masalah berpanjangan pada masa depan.
"Namun, jika seseorang pemain itu sudah tidak berminat atau tawar hati untuk mewakili pasukannya sekarang adalah lebih baik berjumpa dengan majikan bagi menerangkan situasi sebenar.
"Kita kena ingat bahawa kitaran industri bola sepak negara kita tidak sebesar mana pun, jadi adalah lebih baik sebarang masalah melibatkan pemain dengan majikan diselesaikan di meja rundingan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Ketika ini, isu Mohamadou Sumareh dengan majikannya - Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sedang hangat diperkatakan ekoran tindakan pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya itu yang dipercayai sudah memutuskan pertalian dengan skuad Tok Gajah.